Vous êtes sur la page 1sur 3

Antara persoalan kahwin awal

On 05/10/2011, in Islam, by syahirul

Rasulullah s.a.w bersabda: Tiga perkara yang jangan dilambat-lambatkan, iaitu solat apabila telah
masuk waktunya, jenazah apabila telah siap (urusan mandi dan kafan) dan anak gadis setelah ditemui
(pasangan) yang sesuai untuknya. (H.R. Tirmidzi)

Kahwin awal bukan satu masalah. Mari lihat persoalan-persoalan yang selalu menerjah di kepala anak-
anak muda yang fitrahnya terhalang atas sebab-sebab tertentu.

1. Kahwin waktu masih belajar, adakah tidak mengganggu pelajaran?


Siapa cakap kahwin waktu sedang belajar mengganggu? Salah tanggapan tu. Sepatutnya, kahwin awal
lebih memberi kita semangat yang membara. Yelah, sudah ada pasangan yang halal dan akan sentiasa
menyokong kita, mesti la lagi bersemangat mau belajar kan? Lagi satu, orang yang sudah kahwin ni
akan berasa lebih bertanggungjawab dari sebelum kahwin. Sebab mereka tahu bahawa mereka punya
pasangan untuk dijaga, jadi mereka pun akan berusaha untuk buat yang terbaik bagi pasangan
mereka. Apa-apa pun, tengok ibu bapa kita saja sebagai contoh. Sudah kahwin, tapi adakah
mengganggu kerja mereka? Tidak kan?

2. Saya masih belajar, macam mana mahu bagi nafkah pada isteri kalau belum ada kerja?
Saya tahu ramai antara kita yang masih belajar, dan ramai yang meminjam PTPTN atau dapat biasiswa.
Saya beranggapan pasangan yang ingin dikahwini jugak masih study, dan juga meminjam PTPTN atau
dapat biasiswa. Jadi ia bermakna dua-dua masih dapat hidup dengan wang yang asas tu. Jadi,
sementara masih belum ada kerja, suami berilah nafkah yang termampu kepada isteri. Mungkin RM50
atau RM100 sebulan? Bergantung kepada berapa banyak isteri gunakan untuk makan. Lagipun, isteri
jugak ada wang, jadi tak perlu rasa ada masalah di situ. Yang penting dua-dua masih dapat hidup.
Lain la kalau isteri demand kereta, rumah, rantai emas, baju berlambak-lambak, dan macam-macam
lagi. Jadi, sepatutnya tiada masalah dalam bab nafkah. Cuba kita tengok orang Arab zaman Nabi dulu.
Adakah kebanyakan daripada mereka orang berharta? Tidak. Mereka cuma mampu memberi isteri
makan makanan setakat yang mereka mampu beri. Itu pun sudah mencukupi untuk dijadikan nafkah.
Nabi tak larang pun orang miskin berkahwin. Jangan jadikan kekurangan wang sebagai penghalang
perkahwinan. Itu namanya menyalahkan takdir Allah. Berdosa.

Firman Allah: Dan kahwinkanlah orang-orang bujang (lelaki dan perempuan) dari kalangan kamu, dan
orang-orang yang soleh dari hamba-hamba kamu, lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah
akan memberikan kekayaan kepada mereka dari limpah kurniaNya kerana Allah Maha Luas (rahmatNya
dan limpah kurniaNya), lagi Maha Mengetahui. (An-Nur:32)

3. Macam mana mahu cari modal untuk majlis perkahwinan?


Sebelum itu, saya mahu tanya. Apa perkara asas dalam kahwin? Ya, akad nikah dan walimatul urus.
Merisik dan bertunang tu bukan wajib pun. Jadi, potong kos seperti bagi hantaran waktu merisik dan
bertunang, sudah jimat wang. Waktu akad nikah pun, jemputlah keluarga terdekat dengan kawan-
kawan saja yang dapat datang. Berdosa bila tidak menghadiri jemputan walimatul urus. Jadi, jimat sikit
kos kenduri. Dan tidak perlu sanding-sanding semua tu kerana hukumnya haram jika bersanding
depan bukan mahram. Buang wang saja sewa pelamin, sewa baju pengantin, sewa jurukamera dengan
mak andam semua tu kerana ia termasuk dalam hal-hal yang sia-sia. Mas kahwin pun tidak perlu
tinggi-tinggi kerana sebaik-baik magar adalah yang paling rendah. Mudah saja majlis perkahwinan
dalam Islam. Tidak sampai puluh ribu pun.
Sabda Rasulullah s.a.w: Tiga golongan yang akan selalu diberi pertolongan oleh Allah ialah seorang
mujahid yang selalu memperjuangkan agama Allah s.w.t, seorang penulis yang selalu memberi
penawar dan seorang yang menikah demi menjaga kehormatan dirinya. (H.R. Thabrani)

4. Tidak terlalu awalkah untuk saya berkahwin?


Kalau rasa dengan kahwin boleh buat semangat untuk belajar semakin meningkat, kahwin la. Kalau
rasa kahwin boleh buat diri semakin bersemangat dalam agama, kahwin la. Kalau rasa kahwin boleh
elak daripada fitnah dan maksiat, kahwin la. Itu maksudnya, kahwin memang perlu di usia muda.
Benda yang baik, jangan dilambatkan. Takut kelak bertukar menjadi benda yang tidak baik. Cuba
bayangkan anda ada pasangan yang disukai. Kan bagus kita cepatkan benda yang baik dengan
berkahwin terus. Tapi kalau kita melambatkan perkahwinan yang bagus itu, mungkin kita akan
terjerumus ke lembaah maksiat. Kenapa kita boleh beralasan untuk melakukan perkara yang halal,
tetapi tidak langsung mengemukakan alasan untuk melakukan perkara yang haram? Tanya diri,
jagalah iman.

Sabda Rasulullah s.a.w: Apabila datang kepadamu seorang laki-laki untuk meminang, yang engkau
redha terhadap agama dan akhlaknya, maka nikahkanlah dia. Bila tidak engkau lakukan maka akan
terjadi fitnah di muka bumi dan akan timbul kerosakan yang merata di muka bumi. (H.R. Tirmidzi dan
Ahmad)

5. Bersediakah saya untuk kahwin awal?


Ini soalan paling bagus ditanya kepada diri sendiri. Tanya dulu soalan asas ni. Sudahkah saya solat
penuh 5 kali sehari semalam? Bertanggungjawab sudahkah saya? Adakah saya panas baran atau
penyabar? Adakah saya seorang yang bercakap menggunakan akal atau bertindak menggunakan akal
di lutut? Pendek kata, ada banyak soalan spesifik yang boleh ditanya kepada diri sendiri. Walau apa
pun jawapan dia, ini nasihat saya. Sentiasalah perbaiki diri dan mantapkan diri. Orang yang sudah
berkahwin dan sedang belajar solat lebih baik berbanding orang yang sudah kahwin dan pandai solat
tapi tidak amalkannya lepas kahwin. Orang yang bersedia mengubah dirinya adalah yang paling
bersedia sebenarnya.

6. Macam mana dengan restu ibu bapa?


Ya, ini la benda paling susah bila mahu kahwin awal. Faktor penghalang paling utama. Kalau kita dapat
menjelaskan dengan baik kepada ibu bapa dan mereka faham, insyaAllah tiada masalah untuk
berkahwin awal. Tapi kalau ibu bapa kita susah mahu terima sebab fikiran mereka masih terikat
dengan fikiran tipikal masyarakat Melayu sekarang ni yang lebih terpengaruh kepada adat dan
cerekarama di tv semata-mata, serta pemikiran risau akan tak cukup wang nak sara anak dara orang,
sudah tentu mereka tidak akan terima setiap hujah yang diberikan seperti di atas. Apa-apa pun, saya
doakan yang terbaik untuk mereka yang mahu kahwin awal supaya cepat bertemu jodoh. Ingat, bila
seseorang itu berkahwin kerana ingin mengikut sunnah Rasulullah, maka terbukalah segala pintu
rezeki untuknya. Lihat, betapa banyaknya kelebihan kahwin awal. Fikiran kita yang sempit saja
membuatkan kahwin ni nampak terlalu susah sangat.

Umar bin al-Khattab r.a telah berkata: Kahwinlah anak-anak kamu apabila sampai baligh, janganlah
kamu menanggung dosa-dosa mereka. (Disebut oleh Ibnu Jauzi dalam Ahkam An-Nisa)

Nasihat saya untuk golongan-golongan yang sedang hangat bercinta tu, sebaiknya kahwinlah awal.
Lebih banyak kelebihan kahwin awal berbanding kahwin lambat. Tapi semua itu pilihan masing-
masing juga. Mudah-mudahan setiap pilihan yang kita buat adalah yang terbaik dan dirahmati Allah.
InsyaAllah.

Rasulullah s.a.w bersabda: Siapa yang benci dengan cara hidup (sunnah) ku maka dia tidak termasuk
golonganku. (H.R. Bukhari dan Muslim)

Vous aimerez peut-être aussi