Vous êtes sur la page 1sur 2

LAJIH AJO', LAJANG AJU', SEKAPAN, KAJANG.

Pada awal tahun 1970-an seorang sarjana bernama Ian Clayre dari University Edinburgh, Scotland
membuat kerja lapangan di Belaga, Kakus (Punan), Dalat dan Bintulu.
Beliau amat tertarik dengan tulisan seorang sarjana terdahulu, terutama Dr Stephen Morris yang
mengatakan ada hubungan di antara kaum Melanau di persisiran pantai dengan kaum Punan,
Kejaman, Sekapan, dan Lahanan yang mendiami hulu Rejang.

Apa yang lebih menarik hasil dari kajian Clayre (1971) ialah mengenai asal-usul nama kaum yang
kita kenali sekarang sebagai Sekapan. Charles Hose yang tidak pernah menjejak kaki di Belaga,
menamakan Sekapan, Kejaman dan Lahanan sebagai Klemantan (Charles Hose 1906). Tetapi,
ketua kaum Sekapan Matu Puso, memberitahu Ian Clayre nama sebenar kaum Sekapan adalah
Lajih Ajo' atau Lajang Aju'. Tempat lahirnya pemimpin mereka bernama Abun adalah sungai
Kebuau. Dalam peta nama sungai Kebuau di tulis Kebhor - dan memang banyak nama sungai
dalam map yang salah.

Orang Sekapan memberitahu Clayre mereka sebenarnya sisa peninggalan suku kaum purba
dipanggilkan "Kajang" yang dahulunya mendiami kawasan sungai Paran dan Kebuau yang
terletak di hulu sungai Linau. Dalam map kawasan ini adalah sungai Kajang dan disatu selekoh
pertemuan antara kuala paran dengan Linau kelihatan Gunung Kajang.

Ceritanya menurut orang Sekapan, ketika diperintah oleh Tugau (yang juga pemimpin orang
Melanau) mereka diserang musuh asing (supernatural foe). Ini menyebabkan Tugau
mengarahkan semua penduduk melarikan diri ke hilir Rejang - ada yang lari sehingga sungai Igan,
manakala Tugau sendiri lari ke Sungai Pasai dan terus menetap disitu.

Apabila keadaan semakin aman, mereka yang melarikan diri ke hilir sungai kemudiam beransur-
ansur kembali ke hulu Rejang. Ramai juga kemudiannya tinggal dengan Tugau - yang lama-
kelamaan dikenali sebagai kaum Melanau.

Manakala, mereka yang kembali ke hulu Rejang tidak sampai ke tempat asal. Ada yang mula bina
petempatan di sungai Kanowit, dipanggil Kenait (oleh orang Sekapan), mereka di hulu Kanowit
dipanggil Tanjung, Punan, Sekapan, Kajaman, dan Lahanan (rujuk Clayre 1971:121).
Berdekad sebelum Ian Clayre, pada tahun 1949, penghulu Puso Abun (Sekapan) bapa kepada
Matu memberitahu seorang lagi pakar, prof Edmund Leach, bahawa kaum Sekapan, Kejaman,
Lahanan, Punan, Tanjong dan Kanowit dan mana-mana kaum penduduk asal terdahulu dari
Kayan dan Kenyah di Rejang dipanggil Kajang.

Edmund Leach kemudiannya, memasukkan kategori kumpulan kaum, sepertimana dinyatakan


oleh Penghulu Puso Kajang (Punan, Sekapan, Kejaman, Lahanan, Tanjong, Sihan dan Kanowit).
Beliau dikritik hebat, kerana pakar terdahulu tidak pernah tahu akan kewujudan Kajang. Namun,
kategori kaum Kajang dikekalkan semasa Sarawak merdeka. Dan ia hanya diubah pada tahun
2005, pindaan dibuat oleh kerajaan Sarawak dengan mengeluarkan kaum Sihan dari Kajang (rujuk
Sarawak Interpretation Ordinance 2005).

Kaum Sihan dikatakan sama dengan Punan Busang (Vuhang) dari segi linguistik dan memang jauh
berbeza dengan bahasa dan budaya kaum lain dalam Kajang.

Apa yang menarik mengenai cerita orang Sekapan mengenai asal-usul mereka dan Kajang ini,
adalah ia agak bercanggah dengan mitos asal-usul kaum Punan terutamanya. Dalam mitos Punan
asal-usul Punan adalah dari Sungai Punan, bukan di hulu Linau mahupun di sungai Paran dan
Kebuau. Malah mitos kaum Melanau pun agak berbeza (anda baca sendiri kajian Dr Morris).