Vous êtes sur la page 1sur 2

LATIHAN 7 (Dimensi Keluarga)

Setiap ahli keluarga memainkan peranan penting ke arah melahirkan gaya hidup sihat. Jelaskan
peranan ibu bapa dalam usaha memupuk amalan gaya hidup sihat.

Amalan gaya hidup sihat adalah cara hidup yang boleh mengurangkan risiko penyakit jantung pada
masa hadapan. Namun demikian, ribuan rakyat Malaysia mempunyai berat badan berlebihan, tidak aktif dan
terlalu banyak menghisap rokok. Ribuan rakyat Malaysia mengamalkan cara hidup yang tidak sihat sejak
kecil lagi seperti menggemari makanan yang mengandungi kolesterol, tidak melakukan senaman dan makan
secara berlebihan. Oleh itu, untuk mengurangkan risiko penyakit berbahaya seperti sakit jantung, obesiti,
darah tinggi, kencing manis dan sebagainya, rakyat Malaysia perlulah mengamalkan gaya hidup sihat.
Secara umumnya, tanggungjawab ini sudah semestinya jatuh pada bahu ibu bapa yang melahirkan anak-
anak serta menjaga mereka sejak kecil lagi. Persoalannya, apakah peranan ibu bapa dan keluarga untuk
memupuk amalan gaya hidup sihat dalam kalangan anak-anak mereka?
Peranan utama ibu bapa dalam memupuk amalan gaya hidup sihat dalam kalangan anak adalah
dengan memastikan anak-anak mengamalkan pemakanan yang seimbang mengikut piramid makanan.
Pemakanan yang seimbang adalah pemakanan yang mengandungi ketujuh-tujuh kelas makanan dalam kadar
yang bersesuaian iaitu karbohidrat, protein, vitamin, mineral, lemak, air serta serat. Ibu bapa perlulah
sentiasa menghidangkan makanan yang berzat serta bernutrisi kepada anak-anak. Ibu bapa perlu merujuk
kepada piramid makanan sebagai panduan untuk mendapatkan gizi seimbang. Anak-anak digalakkan
mengambil sayur-sayuran dan buah-buahan yang lebih kerana baik untuk kesihatan mata, gusi, kulit serta
mengekalkan kecergasan tubuh badan. Jika tabiat yang baik ditanam dalam diri anak-anak, sudah pasti
anak-anak akan tahu menjaga pemakanan mereka apabila dewasa kelak. Selain itu, ibu bapa juga digalakkan
memasak makanan untuk anak-anak dan mengelakkan makan di luar rumah kerana makanan di luar,
khususnya gerai-gerai makanan di sepanjang jalan, dibimbangi telah tercemar kerana mungkin terdedah
kepada habuk dan asap kenderaan serta banyak mengandungi perisa makanan yang tidak baik untuk
kesihatan. Ibu bapa juga perlu mengurangkan pengambilan minuman berkarbonat dan makanan ringan oleh
anak-anak kerana minuman sebegini tidak memberikan apa-apa kebaikan dan mengandungi kandungan gula
yang berlebihan. Anak-anak perlulah diajar untuk minum air kosong atau jus buah-buahan yang asli.
Jelasnya, ibu bapa perlulah memastikan anak-anak mengamalkan pemakanan seimbang dalam memupuk
amalan gaya hidup sihat.
Selain itu, ibu bapa juga boleh melakukan aktiviti bersenam dan beriadah bersama anak-anak.
Perbuatan ini bukan sahaja akan menyihatkan badan, malah hubungan antara ibu bapa dengan anak-anak
akan menjadi lebih erat. Aktiviti bersenam mampu mengekalkan gaya hidup sihat kerana peluh-peluh yang
keluar sewaktu melakukan senaman akan keluar bersama-sama toksin badan. Kesannya, anak-anak mampu
membina tahap imunisasi yang tinggi terhadap serangan penyakit. Aktiviti senaman perlulah dilakukan
sekurang-kurannya 30 minit sehari dan tiga kali seminggu. Antara aktiviti yang boleh dilakukan ialah
senam robik, berjoging, berbasikal, berenang serta mendaki bukit. Disebabkan ramai golongan ibu bapa
yang bekerja, senaman ini boleh dilakukan pada awal pagi ataupun pada waktu petang selepas ibu bapa
pulang dari kerja. Apabila seseorang itu bersenam dan beriadah, mereka dapat meningkatkan kesihatan diri
dari aspek fizikal dan mental bak kata pepatah, badan cergas otak cerdas. Anak-anak yang mengamalkan
senaman dan beriadah, akan lebih sihat dan dapat memberikan tumpuan terhadap pelajaran di kelas semasa
guru sedang mengajar dan semasa mengulang kaji pelajaran. Menurut kajian, murid-murid yang tidak gemar
bersukan dan beriadah lebih cenderung untuk berkelakuan pasif di dalam kelas selain suka berkhayal dan
mengantuk ketika sesi pengajaran dan pembelajaran sedang berlangsung. Tegasnya, ibu bapa perlulah
melakukan aktiviti senaman dan riadah bersama anak-anak supaya amalan gaya hidup sihat dapat dipupuk
bagi melahirkan otak yang cerdas dan badan yang cergas.
Di samping itu, ibu bapa juga perlulah membawa anak-anak membuat pemeriksaan kesihatan secara
berkala untuk memupuk amalan gaya hidup sihat. Ibu bapa digalakkan untuk membawa anak-anak
menjalani pemeriksaan kesihatan sekurang-kurangnya enam bulan sekali ataupun dua kali setahun di
hospital atau klinik kesihatan yang berhampiran. Pemeriksaan ini meliputi tekanan darah, paras gula dalam
darah dan tahap kolesterol. Tujuan pemeriksaan dibuat agar ibu bapa dapat memastikan tahap kesihatan
anak-anak berada dalam keadaan sihat dan baik. Pemeriksaan kesihatan adalah penting kerana
mampu mengesan sesuatu penyakit ketika masih di peringkat awal dan memudahkan pesakit menjalani
rawatan dengan teknologi moden kini. Bak kata pepatah, mencegah lebih baik daripada mengubati. Jika ibu
bapa mendapati anak-anak mereka tidak sihat, ibu bapa perlulah segera membawa anak-anak berjumpa
dengan doktor untuk mendapatkan rawatan dan ubat serta pengesahan tentang penyakit yang dihidapi. Hal
ini penting bagi membantu ibu bapa mengawal penyakit yang dihidapi anaknya daripada menjadi lebih
serius dan kronik, bak kata pepatah cegah sebelum parah. Seterusnya, ibu bapa perlulah memastikan anak-
anak mematuhi nasihat doktor dan mengambil ubat pada masa yang ditetapkan. Jelasnya, pemeriksaan
kesihatan secara berkala oleh anak-anak akan memupuk amalan gaya hidup sihat.
Ibu bapa juga perlu mengajar dan melatih anak-anak mereka mengutamakan kebersihan diri dan
kebersihan persekitaran tempat tinggal pada setiap masa bagi memastikan mereka terhindar daripada
sebarang penyakit. Keperluan asas seperti menggosok gigi, mandi, berpakaian bersih, waktu tidur dan rehat
yang cukup juga perlu dijadikan amalan hidup seharian. Sikap sambil lewa ibu bapa dalam menitik beratkan
aspek berkenaan mungkin boleh membawa pada. Persekitaran yang bersih perlu dijadikan amalan dan gaya
hidup agar kita terhindar daripada sebarang penyakit. Umpamanya, ibu bapa menggalakkan anak-anak
mengadakan gotong-royong di rumah setiap hujung minggu untuk membersihkan kawasan rumah bersama
ahli keluarga. Ibu bapa juga boleh membawa anak-anak menyertai kegiatan gotong royong di taman
perumahan dengan membersihkan sampah-sarap atau memastikan kawasan persekitaran mereka sentiasa
bersih. Amalan seperti ini dapat mengelakkan pembiakan agen-agen pembawa penyakit seperti nyamuk,
lipas, lalat dan sebagainya. Tempat-tempat pembiakan nyamuk di dalam atau di luar rumah seperti pelapik
pasu bunga ataupun tempat takungan air mestilah kerap dibersihkan ataupun ditukar. Dengan cara demikian,
ibu bapa dapat melatih gaya hidup yang positif dalam diri anak-anak mereka sekaligus akan dapat
menjauhkan diri mereka daripada pelbagai penyakit.
Tambahan pula, untuk memupuk amalan gaya hidup sihat dalam diri anak-anak, ibu bapa perlulah
membawa mereka menziarahi orang sakit sama ada saudara-mara, jiran tetangga ataupun rakan-rakan. Hari
ini kita sihat, tetapi bagaimana pula dengan hari esok? Jika ibu bapa sering melawat orang yang sedang
sakit, nescaya anak-anak mereka juga akan berbuat demikian kerana bagaimana acuan begitulah kuihnya.
Anak-anak tidak seharusnya merasakan bahawa perbuatan sebegini hanya membuang masa dan merugikan
diri kerana ianya sesuatu amalan yang mulia. Apabila kita menziarahi ornag yang sakit, secara tidak
langsung kehadiran kita dapat melahirkan perasaan gembira kepada pesakit dan memberi kekuatan kepada
diri pesakit itu untuk melawan kesakitan yang ditanggungnya. Perbuatan menziarahi orang yang sakit akan
sedikit sebanyak melahirkan rasa simpati terhadap nasib orang lain dan pada masa yang sama anak-anak
akan bersyukur atas kurniaan badan yang sihat. Kehadiran kita menunjukkan bahawa kita, khususnya anak-
anak, mengambil berat tentang diri pesakit dan dapat mengurangkan perasaan sedih pesakit walaupun
pepatah menyatakan bahawa berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Tegasnya, amalan
menziarahi orang yang sakit oleh ibu bapa dan anak-anak mampu menanamkan amalan gaya hidup yang
sihat.
Akhir sekali, bagi menjalani amalan gaya hidup sihat, ibu bapa perlu memastikan agar anak-anak
mendapat rehat dan tidur yang secukupnya. Tubuh badan anak-anak juga perlu direhatkan dengan kadar
yang diperlukan untuk mengecas semula organ-organ dalam badan mereka. Anak-anak yang mendapat tidur
yang secukupnya berupaya menambah tenaga untuk bergiat aktif ketika di sekolah. Bagi anak-anak yang
telah mencapai usia remaja, mereka memerlukan sekurang-kurangnya lapan jam sehari untuk tidur dengan
selesa. Nik Nor Madihah, pelajar cemerlang SPM 2008, menyarankan agar semua pelajar tidur secukupnya.
Namun, ramai dalam kalangan anak muda pada masa ini yang lebih suka tidur selepas tengah malam
walaupun keesokannya merupakan hari persekolahan. Kesannya, mereka tidak akan berasa cergas dan badan
akan lesu dan tidak bermaya. Malahan, pelajaran anak-anak juga terganggu dan lama-kelamaan prestasi
mereka dalam peperiksaan semakin merosot. Salah satu langkah yang boleh diambil oleh ibu bapa adalah
menetapkan satu masa yang spesifik untuk anak-anak masuk tidur dan mestilah dipatuhi dengan
sepenuhnya. Tegasnya, untuk memupuk amalan gaya hidup sihat, ibu bapa perlu memastikan anak-anak
mendapat rehat yang secukupnya.
Berdasarkan perbincangan di atas, dapatlah disimpulkan bahawa ibu bapa memainkan peranan yang
besar untuk memupuk amalan gaya hidup sihat dalam kalangan anak.. Amalan ini adalah penting untuk
dilaksanakan agar kesihatan rakyat dalam negara ini sentiasa dalam keadaan yang baik. Oleh itu, langkah-
langkah di atas perlulah diamalkan oleh anak-anak yang menjadi pemimpin generasi akan datang bak kata
pepatah pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara. Semua rakyat Malaysia haruslah mengamalkan gaya
hidup sihat supaya penyakit seperti kencing manis, obesiti, darah tinggi, sakit jantung dan sebagainya dapat
dikurangkan dalam jangka masa yang panjang ini. Jelasnya, jika hal-hal yang dinyatakan di atas itu kita
laksanakan, sudah pasti kita memiliki ciri-ciri manusia yang berjaya bak kata pepatah hendak seribu daya,
tidak hendak seribu dalih.