Vous êtes sur la page 1sur 29

SARA BINTI BEDEN (P48309)2009/2010

PROGRAM KESUSASTERAAN MELAYU


JABATAN BAHASA, BUDAYA DAN SASTERA FSSK
UNIVERSITI KEBANGSAAN MALAYSIA

Kertas: kritikan dan penilaian sastera


DAERAH ZENI : analisis teori moral

Pengenalan

Kajian ini menggunakan novel Daerah Zeni (DZ) karya Sasterawan Negara A. Samad Said.
Novel ini telah memenangi Hadiah Sastera Malaysia 1984-1985. Kemunculan novel ini
merupakan satu wawasan baru dalam penciptaan novel Melayu kontemporari kerana
dikatakan menyimpang dari kelaziman khasnya dari segi teknik penceritaannya dan
dikategorikan sebagai novel nouveau roman. Hal ini demikian kerana novel ini
mengetengahkan suatu konsep tentang penciptaan dan pembinaan novel baru yang berbeza
dengan amalan penulisan konvensional (Fatimah Busu : 1992 : 82). Manakala Kamaruddin
Abdul Rahman (1995: 33), menyatakan bahwa proses penciptaannya penuh dengan jungkar-
balik dan tidak mempunyai plot yang jelas. Penggunaan latar ruangnya juga tidak tetap iaitu,
mencampuradukkan pelbagai latar masa seperti masa dahulu, kini dan masa depan. Novel
seperti ini dikatakan rumit dan menyulitkan pembaca untuk memahaminya kerana sebahagian
besar pengolahan teks kelihatan begitu bebas. Namun yang membezakan teks nouveau roman
ini dengan karya-karya konvensional yang lain hanyalah dari segi teknik penulisannya kerana
isi dan pemikirannya masih berkisar tentang hal-hal kemasyarakatan.

Mana Sikana (1990 : 21) dalam bukunya Sastera Melayu Moden ; Perubahan dan
Tamadun, menyatakan :

Daerah Zeni suatu eksperimen A.Samad Said yang


sangat berani menentang tradisi penciptaan novel-
nya yang dianuti sejak Salina tetapi pemikiran yang
dipokokkan masih merakyat sifatnya.

Jelaslah bahawa walaupun novel ini mengalami pembaharuan, namun isi yang disampaikan
masih berkisar tentang isu-isu yang berlaku dalam masyarakat yang dapat dijadikan
pengajaran dan pendidikan serta sesuai dengan latar zaman yang difokuskan pengarang.
Kajian ini akan menggunakan pendekatan moral dengan menganalisis tiga peringkat aspek
pendekatan ini iaitu pembicaraan isi karya (tema, persoalan-persoalan, pemikiran, mesej,
motif, falsafah dan premis), aspek moral atau pendidikan (didaktis) dan nilai karya.
Pendekatan Moral

Menurut Atar Semi (1984), pendekatan moral bertolak dari dasar pemikiran bahawa sesuatu
karya sastera dianggap sebagai suatu medium yang paling berkesan dalam membina moral
dan keperibadian kelompok sesuatu masyarakat (Rahman Shaari:1994:72). Manakala Hasyim
Awang (1998:9), memberikan pendapat bahawa teori moral timbul daripada tanggapan dasar
bahawa selain menjadi objek alam, sastera juga kejadian alam berupa penghasilan ciptaan
manusia. Di sini kejadian alam tidak lagi dlihat sebagai kewujudan berbentuk alat atau benda,
tetapi kejadian peristiwa yang mengambil sifat pengalaman hidup. Dengan memiliki sifat
sedemikian, sastera berupaya memberikan manfaat yang lebih jauh dan lebih dalam daripada
fungsinya sebagai benda atau peralatan. Dalam konteks begini, sastera mampu menyingkap
dan memberikan pengalaman kepada manusia. Pengalaman-pengalaman itu biasanya terdiri
daripada dua perkara utama iaitu, peristiwa yang dilalui manusia (watak) tertentu dan
maklumat yang berkaitan dengan manusia dan dunianya termasuklah kejiwaan, kepercayaan,
kebudayaan, kemasyarakatan, kebangsaan dan persekitaran.

Dalam perkara yang pertama, pembaca dan pengkritik memahami, turut merasakan,
lalu mengkaji pelbagai ragam perlakuan serta kehidupan manusia yang tergambar dalam
karya. Di sini terpancarlah pelbagai persoalan moral yang dapat diterokai dan dikaji oleh
pengkritik. Bagi maksud ini, pendekatan moral dapat memenuhi sifat kesusasteraan Melayu
yang berteraskan kebajikan dan ketakwaan. Perkara yang kedua pula memperlihatkan
keupayaan dan keistimewaan sastera menjadi sumber ilmu pengetahuan. Sejak dahulu
masyarakat Melayu sering menghubungkait konsep pustaka dan kepustakaan. Hal ini
bermaksud sastera dapat menelurkan pelbagai pengetahuan, panduan dan nasihat.
Berdasarkan tanggapan ini, sastera dapat dikaji dan dinilai peranan serta kemampuannya
yang menjadi gedung sastera yang menampung ilmu pengetahuan dan pengajaran yang
membawa kebaikan kepada manusia.

Pendekatan moral lebih menekankan kepada penilaian moral dan hubungan budaya
iaitu penilaian bercorak agama, kebudayaan dan falsafah. Penekanan dalam kritikan lebih
kepada soal baik buruknya sesuatu unsur yang terdapat dalam sesebuah karya. Adakah unsur-
unsur itu bertentangan dengan agama, kebudayaan dan falsafah. Unsur-unsur negatif akan
dikecam sebaliknya unsur-unsur yang positif dan membina akan disanjung dan dipuji.
Sejarah dan Perkembangan

Dalam kritikan sastera, pendekatan moral ini boleh dianggap tua. Hal ini dapat dilihat melalui
penyataan Wilbur S. Scott (1962) seperti yang dinyatakan oleh Rahman Shaari (1994 : 72):

Of the various types of criticism practiced today,


the moral approach has undoubtedly the longest
history.

Pendekatan ini telah digunakan sejak dari zaman Greek lagi. Pendekatan ini pernah
digunakan oleh Aristotle, sementara Plato pernah menggunakan pendekatan ini dalam
membuat penilaian puisi pada zamannya. Menurut Mana Sikana (2009 : 371), Plato dalam
Republic sudah menegaskan betapa pentingnya moral dalam sastera dan meletakkan syarat
bahawa mesej dan perutusan harus ada dalam sesebuah karya kerana tanpanya karya itu tidak
mempunyai pengertian. Sasterawan Barat berpendapat bahawa hasil kesusasteraan yang baik
mestilah bermutu, menggambarkan kebenaran dan memperlihatkan kesungguhan yang tinggi
serta sesuai dengan iklim dan amalan masyarakat pada zaman itu. Dalam tahun-tahun 1950-
an, golongan moralis adalah merupakan golongan pengkritik yang sangat aktif. Antara
tokohnya adalah seperti D.H.Lawrence, John Middleon Murray, G. Ornell, F.R. Leavis, dan
T.S.Elliot. Kebanyakan mereka berpendapat kritikan moral bergantung pada nilai baik dan
buruk di mata masyarakat.

Dalam zaman Kegelapan Eropah atau Dark Ages, telah muncul genre Morality Play,
yang menceritakan kisah-kisah nabi daripada Bible, membicarakan tanggungjawab paderi di
gereja dan mengemukakan cara-cara untuk memperbaik perangai manusia (Mana Sikana :
2009:371). Karya sastera khasnya drama pada masa itu memberikan panduan kepada
pengkaji untuk membina teori nilai dan sastera dalam kritikan sehingga prinsip kritikan
ditentukan oleh isi dan moralitinya. Kemudian muncul zaman Renaissance iaitu zaman
Kebangkitan Eropah yang meletakkan manusia mempunyai taraf lebih tinggi daripada
haiwan dan yang membezakannya ialah sifat taakulan dan moralnya. Pada zaman ini karya
sastera harus menghidupkan watak yang benar-benar rasional dan bermoral. Oleh itu,
terciptalah aliran humanisme atau kemanusiaan yang meletakkan manusia ialah pusat
kehidupan alam yang bertaraf tinggi dibanding dengan makhluk yang lain. Ketinggian taraf
manusia itu adalah ditentukan oleh moral dan moral itu menentukan manusia harus
mempunyai peraturan, disiplin dan batasnya. Sejak dari itu, humanisme dan moral mulai
mendapat perhatian daripada para pengkritik berpendekatan moral untuk dijadikan dasar
kritikan.
3
Definisi Moral

Moral dalam bahasa Latin disebut moralis, mos, moris atau mores merujuk kepada adat,
istiadat, kebiasaan, cara, tingkah laku, kelakuan, tabiat, watak, akhlak dan cara hidup
(Lorens Bagus :1996:672). Maksud tersebut mempunyai beberapa pengertian iaitu moral
dihubungkaitkan dengan kegiatan-kegiatan manusia yang dipandang sebagai baik atau buruk,
benar atau salah dan tepat atau tidak tepat. Pengertian lain termasuklah unsur yang sesuai
dengan peraturan atau prinsip yang diterima berhubung dengan yang benar, adil, cekap dan
berkebajikan. Hal ini termasuklah kemampuan untuk menginsafi yang benar dan salah serta
mendidik orang lain dengan peraturan yang sesuai sama ada tingkah laku itu betul atau salah
semasa berhubungan dengan orang lain. Dengan kata lain, moral ialah unsur mendidik dan
memberi pengajaran yang mempunyai nilai yang baik atau buruk serta menjadi dasar
sesebuah karya sastera.

Aspek moral melalui kesusasteraan sering dikemukakan oleh pengkritik yang


bersikap komited terhadap masyarakat atau terhadap manusia seluruhnya. Para pengkritik
moral berpendapat bahawa kesusasteraan sesuai dijadikan alat untuk mengajar dan mendidik
masyarakat atau manusia agar menerima nilai-nilai yang baik. Oleh itu, pengkritik akan
mencari nilai-nilai yang baik dalam karya sastera yang dikajinya dan jika nilai itu amat
kurang maka pengkritik akan menegur dan berpesan kepada pengkarya agar menghasilkan
karya-karya yang bermoral pada masa akan datang. Justeru dalam pendekatan ini, sesebuah
karya sastera yang baik itu harus bermoral.

Dalam konteks dunia kritikan kesusasteraan, ditegaskan bahawa pendekatan moral itu
bertolak dari dasar pemikiran karya sastera itu tanpa mengira genre apa pun dianggap sebagai
sebagai wacana yang ampuh dan efektif dalam usaha membina moral dan keperibadian
sesuatu kelompok masyarakat. Menurut Muslim Burmat (1999), sebagai hasil sastera, apa
jua bentuk tulisan itu harus kita bahaskan dalam konteks sastera walaupun yang kita lihat
adalah moral. Hal ini subjektif kerana jika karya itu mementingkan stail atau gaya tanpa
moral, isinya hambar dan tidak ada sumbangan kepada bangsa. Oleh itu, usaha mengarang
mesti serius dan mesti lahir dari hati kita sendiri, bukan main-main. Mudah-mudahan karya
itu berguna kepada bangsa malahan kepada manusia supaya manusia berkeadaan baik,
berfikiran baik dan berkelakuan baik serta bertindak baik dan sempurna. Itulah tujuan sastera
yang membentuk moral (Arpan Shahbudin : 1999:93).

Konsep dan Prinsip

Secara ringkasnya, ada empat konsep dan prinsip utama kritikan pendekatan moral ini.
Pertama, pendekatan moral berpendapat bahawa hasil sesebuah karya sastera adalah
ciptaan yang harus disanjung dan dimuliakan. Seseorang pengarang bukan sahaja berbakat
tetapi harus mempunyai visi, aspirasi dan perjuangan dalam penyuguhan karya. Karya yang
baik harus bermoral dan keunggulan sesebuah karya bergantung kepada ketinggian moral
dalam karya itu. Karya yang tidak mementingkan moral dianggap tidak bernilai (Mana
Sikana : 2009 : 367).

Prinsip kedua pula berkaitan dengan pendekatan moral yang mementingkan isi
daripada bentuk. Aspek isi ialah cerita dan persoalan yang menjadi isu semasa. Pendekatan
moral melihat karya sastera sebagai suatu sumbangan ke arah pembentukan masyarakat yang
sensitif dengan zamannya. Perkara yang dipentingkan ialah isi yang hendak disampaikan dan
bentuk hanyalah sebagai alat untuk menyampaikan isi atau moral.

Seterusnya, prinsip pendekatan moral yang ketiga iaitu menganalisis sastera dari
sudut didaktis. Didaktis merujuk kepada karya sastera yang mengandungi unsur-unsur
pengajaran yang boleh menjadi panduan kepada pembaca. Dalam prinsip ini, kesusasteraan
mempunyai tanggungjawab etika iaitu sebagai alat untuk memperbaik dan meningkatkan
nilai moral masyarakat.

Prinsip yang keempat pula mengandungi empat dasar melalui pendekatan ini. Dasar
yang pertama berkaitan dengan karya sastera sebagai sumbangan bagi meninggikan tamadun
bangsa. Dasar kedua pula untuk membangunkan aspek-aspek kemasyarakatan. Manakala
dasar yang ketiga pula berkaitan dengan usaha mencemerlangkan aspek pensejarahan sesuatu
bangsa. Dasar yang terakhir adalah untuk memajukan moral atau akhlak secara universal.
Kaedah Kritikan
Ada empat kaedah kritikan dalam pendekatan moral ini. Pertama, sesebuah karya itu haruslah
dilihat dari aspek isinya. Aspek isi merangkumi tema atau isu utama, persoalan-persoalan,
pemikiran, mesej, motif, falsafah atau propaganda dan akhirnya premis. Kesemua perkara
yang meliputi isi karya ini akan dilihat pada peringkat awal kritikan.

Peringkat yang kedua ialah perbincangan aspek moral karya. Aspek moral ini
merupakan pendidikan atau pengajaran yang hendak disampaikan melalui karya.
Perbincangan pada tahap ini akan menjurus kepada huraian-huraian berdasarkan peristiwa-
peristiwa dan perwatakan watak-watak dengan melihat unsur didaktiknya. Selain itu, latar
dan aspek bahasa juga boleh dibincangkan pada tahap ini untuk melihat moralnya. Setelah
perbincangan perkara-perkara tersebut, baharulah disimpulkan unsur pengajaran dan
pendidikan yang menjadi dasar moral terpenting dalam karya tersebut. Menurut Mana Sikana
(2009 : 377), bahawa perbincangan di sekitar pendidikan atau moral ini menjadi inti kepada
pendekatan moral.

Peringkat yang ketiga pula adalah perbicaraan tentang nilai karya. Nilai ini berkaitan
dengan kebaikan dan keburukan sesuatu perkara. Nilai karya di sini dapat ditentukan oleh
nilai keagamaan, kemasyarakatan dan nilai-nilai murninya. Dalam hal ini, perbicaraan juga
perlu menentukan harga nilai tersebut berdasarkan isi atau isu yang dikemukakan dalam
karya sama ada nilai isu itu penting atau tidak setelah dihubungkaitkan dengan aspek
kontekstualnya.

Manakala peringkat yang keempat pula membicarakan kesan atau pengaruh karya
tersebut kepada pembaca. Seseorang pengkaji pendekatan moral ini harus melihat faktor
kesan iaitu sama ada moral itu dapat memberi kesan yang mendalam atau tidak dalam jiwa
pembaca. Kesan itu pula akan dilihat sama ada kesan jangka panjang atau pendek serta sesuai
atau tidak dengan zamannya. Oleh itu, dapat disimpulkan bahawa pendekatan moral ini
melihat isi teks dan memberatkan sudut pengajaran, nilai pengajaran dan kesannya kepada
khalayak.

6
Latar Pengarang
Samad Said atau nama sebenarnya Abdul Samad bin Muhammad Said merupakan novelis,
penyair, penulis cerpen, penulis esei/kritikan sastera, penulis skrip drama pentas dan
penterjemah karya sastera. Beliau lahir di Kampung Belimbing Dalam, Durian Tunggal,
Melaka pada 9 April 1935. Sejak kecil lagi (berusia enam bulan) keluarganya berhijrah ke
Singapura. A. Samad Said mendapat pendidikan asas dan menengah di Singapura, iaitu di
Sekolah Melayu Kota Rajah hingga lulus darjah IV dan meneruskan pengajian di Victoria
Institution. A. Samad Said telah lulus Senior Cambridge (1956) dengan belajar sendiri.

Minatnya dalam bidang penulisan, sejak awal lagi telah terkesan. Justeru itu, sekejap
sahaja dia bekerja sebagai kerani di hospital dan kembali kepada dunia penulisan, iaitu
sebagai pembimbing dan penulis untuk Majalah Rumaja. Rentetan pengalaman pekerjaannya
menunjukkan lagi minatnya dalam penulisan, diawali sebagai penolng pengarang di akhbar
Fikiran Rakyat., enam bulan kemudian menjadi penyunting majalah Mastika. Tumpuannya
pada waktu itu lebih kepada penulisan esei kesusasteraan iaitu tentang pengarang-pengarang
Barat, penulisan puisi, cerpen dan karya-karya terjemahan. Pada sekitar tahun 1960-an, beliau
bertukar kerja di Berita Harian dan dilantik menjadi pengarang bersama-sama dengan A.
Samad Ismail dan pernah dilantik menjadi penolong khas kepada pengarang kumpulan The
Straits Times. Dalam dunia penulisan, genre terawal yang mula diceburinya ialah puisi.
Novel merupakan genre yang terkemudian diceburi, namun membawa tuah kepadanya
setelah novel “Gerhana” (1958) memenangi sayembara anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka
dan diterbitkan pada tahun 1961 dengan judul Salina. Beliau menulis hasil dari pengalaman,
pengamatan, pembacaan dan penelitian terhadap hal-hal yang berlaku di sekelilingnya.

Novel karya beliau yang lain adalah seperti Bulan Tak Bermadu di Fatehpur Sikri
(1966), Sungai Mengalir Lesu (1967), Di Hadapan Pulau (1978), Adik Datang (1980),
Langit Petang (1980), Daerah Zeni (1985), Hujan Pagi (1992) dan Cinta Fansuri (1994).
Novel DZ dikatakan lahir daripada cita-citanya, mimpinya, rumah tangganya, kemahuan dan
kebenciannya, kenangannya, sahabat dan para rakan serta telah bergumul dalam fikirannya
sejak menulis novel Langit Petang yang diterbitkan pada tahun 1982.

Pada tahun 1976, beliau mendapat penghargaan sebagai Pejuang Sastera daripada
Kerajaan Malaysia kerana pencapaian dan sumbangan dalam memperkaya dan meninggikan

7
nilai kesusasteraan Melayu. Tiga tahun kemudian (1979), Perdana Menteri melantik beliau
sebagai salah seorang Panel Anugerah Sastera. Pada tahun yang sama juga beliau menerima
S.E.A. Write Award daripada Raja Thailand. Anugerah Sastera yang paling tinggi di
Malaysia telah dinobatkan kepadanya pada tahun 1985, iaitu Anugerah Sasterawan Negara.
Anugerah ASEAN dari Negara Brunei Darussalam pula diterima pada tahun 1993. Selain
pengiktirafan tersebut, beliau juga dianugerahi Darjah Kebesaran Negeri Melaka yang
membawa gelaran Datuk pada tahun 1997. Pada tahun 2003, A. Samad Said dianugerahi
Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Pendidikan Persuratan Melayu) oleh Universiti
Pendidikan Sultan Idris, Tanjong Malim.

Isi karya

Walaupun novel ini berlatarkan dua latar masa iaitu sebelum merdeka (melalui manuskrip
Lazri Meon sepanjang dua bab) dan selepas merdeka iaitu sekitar tahun 1980-an namun
temanya adalah tentang perjuangan untuk meneruskan kehidupan. Perjuangan masyarakat
sebelum merdeka adalah perjuangan menentang penjajah Inggeris yang menakluki Tanah
Melayu. Watak seperti Lazri Meon (hidup dalam dua latar), Hamdar, Raja Dabet, Dol Zaleh,
dan Mardi berjuang untuk membebaskan tanah air daripada belenggu penjajah. Lazri Meon
sendiri terlibat secara langsung dengan perjuangan kemerdekaan Tanah Melayu dan
menganggotai UMNO serta tetap dengan cogan kata “Hidup Melayu” pada masa perpecahan
UMNO. Masyarakat selepas merdeka seperti watak Zeni, Zedi, Lazri Meon, Mohdi dan
Ehran juga digambarkan berjuang meneruskan hidup dengan cara yang tersendiri agar bebas
daripada belenggu masalah yang memerangkap mereka.

Persoalan atau isu lain dalam novel DZ ialah persoalan kehilangan orang yang
memberi sumber kekuatan dalam hidup. Lazri Meon kehilangan cermin dan sukar mengenali
dirinya sendiri setelah kematian Fatiyah isterinya. Hal ini dapat digambarkan melalui petikan
berikut:
“Dia menjadi cermin tulen kepadaku... Cermin tulen-ibumu
cermin tulen. Dan tiba-tiba cermin itu tidak ada. Dan ...aku
...aku terpaksa kembali kepada diriku sendiri.”
(Daerah Zeni:54)

Petikan tersebut menjelaskan bahawa Fatiyah dianggap oleh Lazri Meon sebagai cermin
dalam hidupnya. Fatiyah adalah simbol kebahagiaan dan kekuatan Lazri Meon dan
8
keluarganya. Kehilangan Fatiyah telah meranapkan hidup Lazri Meon dan dia tiada upaya
untuk bertangungjawab kepada keluarga malahan hilang keyakinan diri. Lazri Meon menjadi
penyepi dan hilang matlamat hidup walaupun sebelum itu dia merupakan pejuang, penulis
dan pendebat yang hebat. Kematian Fatiyah turut menyebabkan aktiviti kehidupan Lazri
Meon menjadi gelap dan beku. Lazri Meon berubah menjadi manusia pengkhayal dan
hidupnya melayani angan-angan dan fantasi sebagai ganti kepada isterinya. Kedua-dua
anaknya iaitu Zeni dan Zedi turut terkena tempias duka lara Lazri Meon akibat perubahan
sikapnya. Mereka tidak dapat menjalani kehidupan dengan sempurna dan terbiar apabila
ketiadaan ibu di sisi mereka. Ayah pula tidak berjaya mengambil peranan ibu dan masing-
masing mencari dunia yang tersendiri sebagai ganti kepada dunia yang telah hilang setelah
ibu mereka meninggal dunia.

Pengarang turut memaparkan isu ketandusan kasih sayang dalam novel ini. Masalah
Zeni dan Mohdi adalah masalah membina kasih sayang. Zeni mengharapkan suaminya iaitu
Mohdi sebagai insan yang dapat memberikan kasih sayang kepadanya sebagai ganti kepada
ibunya tetapi keadaan ini tidak berlaku kerana Mohdi bukanlah tempat yang sesuai untuk
Zeni menggantung kasih. Lazri Meon pula benar-benar ketandusan kasih sayang apabila
isterinya meninggal dunia sehingga dia berada dalam kekeliruan. Sementara Zedi yang
lumpuh terus tidak mendapat kasih sayang setelah ibunya meninggal kerana ayahnya tidak
dapat bertindak sebagai pengganti ibunya. Ketiga-tiga watak menjadi mangsa ketandusan
kasih sayang dan hanyut dalam arus kekecewaan.

Isu keruntuhan rumah tangga akibat ketidakjujuran tidak dapat dipisahkan dari novel
ini. Keruntuhan rumah tangga Zeni dan Mohdi menyebabkan Zeni cukup berhati-hati dalam
membuat keputusan. Perkahwinannya dengan Mohdi menelurkan penderitaan yang maha
hebat. Usia perkahwinan sepanjang tiga tahun itu membuat Zeni hidup terseksa kerana sikap
dan perbuatan Mohdi yang kejam dan tidak jujur serta tidak mencintai rumah tangga. Mohdi
telah menipu Zeni sebelum mereka berkahwin tanpa memberitahu yang dia sudah beristeri.
Setelah setahun perkahwinan mereka rahsia itu terbongkar dan Zeni hidup dalam keadaan
menderita dan penuh kebencian kepada Mohdi. Bagi Zeni, hidupnya bersama Mohdi umpama
dalam neraka dan perkahwinan mereka berakhir dengan penceraian.

9
Kebencian Zeni akibat perbuatan Mohdi dapat digambarkan seperti berikut:
“Aku ingin tembak Mohdi betul-betul di antara dua keningnya,”
Zeni berbisik, mengulangi kata-kata Raja Dabet, kecuali “penjajah”
digantikan dengan “Mohdi” tanpa disedarinya. Dia terbayangkan ...
“Setiap kali mengingatnya, aku terbayangkan neraka,” bisik Zeni.
(Daerah Zeni:95)

Di samping itu, pengarang turut menyuguhkan persoalan memperalatkan orang lain


demi kepentingan diri sendiri. Mohdi mengaku yang dia mencintai Zeni dengan ungkapan
‘pagi petang siang malam,’ namun semua itu hanyalah alasan kerana dia hanya mahu
memenuhi keinginan nafsunya sahaja. Dia tidak mencintai rumah tangga sehingga
mengabaikan isteri tuanya dan dua anak mereka di Perlis. Di Haadyai, Mohdi telah
berkahwin dengan seorang perempuan muda dan menetap di sana sehingga kembali semula
untuk mendapatkan jandanya iaitu Zeni. Mohdi berjuang untuk mendapatkan Zeni semula
dengan menghidupkan hubungan abang ipar-adik ipar dan mendapatkan maklumat tentang
Zeni daripada Zedi. Keegoannya tercabar apabila mendapat tahu yang Zeni didampingi
seorang buruh binaan dan hal ini meningkatkan lagi keazamannya untuk mendapatkan Zeni
dengan apa cara sekali pun sama ada secara lembut atau kasar. Bagi Mohdi kejayaan
mendapatkan Zeni adalah tanda kemenangan dan kebahagiaan tanpa mengambil kira
perasaan orang lain termasuk mengancam Ehran iaitu jejaka yang meminati Zeni. Sikap
Mohdi yang sedemikian dapat digambarkan melalui petikan berikut:
Sepanjangnya menjadi abang ipar, Zedi memang amat pengerti.
Mohdi tahu ini, dan dia yakin Zedi tetap mengerti itu juga. Dia
menghidupkan semula hubungan lama adik ipar-abang ipar itu
dan kemudian memancing sebanyak-banyak rahsia dan kisah
bekas isterinya.
(Daerah Zeni:91)

Isu lain yang terdapat dalam novel ini ialah kekesalan dan perasaan bersalah
seorang suami kepada isterinya yang telah meninggal dunia. Lazri Meon insaf akan
kesilapannya yang terlalu mengutamakan kongres dan perjuangan sehingga mengabaikan
isteri dan anak-anaknya. Setelah isterinya pergi dia merasakan perjuangannya hanya sia-sia.
Kekesalan ini disedarinya setelah dia kehilangan orang menjadi pendorong dan pemaham
pada perjuangannya. Lazri Meon sedih dan kesal lebih-lebih lagi apabila dia tidak sempat
membawa isterinya ke Mekah semasa isterinya masih hidup. Dia turut insaf yang dia perlu

10
memikul tanggungjawab pada anak-anaknya dan bukan sibuk melayani kegementaran
hidupnya. Perasaan bersalah dan berdosa Lazri Meon dapat digambarkan melalui petikan
berikut:
“Aku benar-benar berdosa. Patutnya aku tak lebihkan
kongres. Itu dulu....Aku tak sangka dia akan meninggal....
(Daerah Zeni:123)

Selain itu, pengarang juga memuatkan persoalan kekuatan dan ketabahan golongan
yang cacat dalam menghadapi realiti dan menerima takdir hidup. Hal ini dapat dilihat
melalui watak-watak penghuni di rumah rawatan pesakit lumpuh seperti Zedi dan Zirah. Zedi
pasrah dengan kakinya yang lumpuh akibat kemalangan dan tidak menyesali takdir. Malah
Zedi mempunyai kekuatan untuk meneruskan hidupnya dengan cara yang tersendiri dan
tidak mahu ayah dan kakaknya Zeni ikut menderita. Zedi mahu kakaknya bahagia dengan
menerima Ehran sebagai teman hidup apabila Zeni mahu bertanggungjawab pada Zedi
sebagai kakak sehingga mengabaikan perasaan Ehran. Watak Zirah yang lumpuh juga
digambarkan tidak tunduk pada nasibnya. Zirah tidak meratapi nasibnya malah mengisi masa
dengan membaca buku-buku agama termasuk manuskrip Lazri Meon dan menghadiri
syarahan agama. Zirah memandang hidup dari sudut yang positif iaitu kekurangan bukan
jalan untuk mengalah pada hidup. Orang kurang upaya seperti mereka semuanya berjodoh
seperti hidup dan mati.

Persoalan kepercayaan pada bomoh turut diselitkan dalam novel ini. Isu ini dapat
dilihat dalam manuskrip Lazri Meon sepanjang dua bab melalui watak anak Asihah dan
Mudir iaitu Bajer dan Rizi. Kedua-dua mereka amat percaya pada tangkal yang diberikan
oleh Bomoh Sakinah yang mempunyai ilmu perbomohan pada waktu itu. Mereka percaya
yang mereka akan selamat dengan memakai tangkal pemberian bomoh itu. Keadaan ini
menunjukkan yang Bomoh Sakinah mempunyai pengaruh yang kuat dalam masyarakat di
sekelilingnya dan amat dipercayai serta dikagumi. Peristiwa ini dapat dilihat melalui petikan
berikut:
“Ada tangkal,” jawab Bajer, mencapai dan menunjukkan tangkal
hitamnya. “Kata Nenek Kinah semua orang takut tangkal ni.
Bajer ada tangkal, Rizi ada tangkal.” “Ya, kata bapa jangan takut.
Ada tangkal ,” Rizi menyokong.
(Daerah Zeni:85)

11
Isu kebencian pada penjajah juga dikemukakan pengarang dalam novel ini.
Raja Dabet, Hamdar, Ansan, Mardi, Murdi dan Dol Zaleh amat membenci penjajah yang
menyusahkan hidup mereka. Mereka terpisah daripada orang yang disayangi kerana
kekejaman penjajah. Hamdar kehilangan ibunya sejak berusia dua belas tahun dan tidak tahu
di mana kubur ibunya. Perasaan dendam dan benci pada penjajah juga digambarkan pada
watak Raja Dabet yang sentiasa berlatih menembak kerana dia mahu menembak penjajah
betul-betul di antara dua keningnya. Kebencian Raja Dabet kepada penjajah dapat dilihat
melalui petikan berikut:
Tangannya yang erat memegang senapang itu semakin berpeluh,
hatinya semakin panas. “Aku ingin tembak penjajah betul-betul
tepat antara dua keningnya,” dia teringat kata-katanya sendiri.
(Daerah Zeni:69)

Isu tuduhan dan fitnah boleh menganiayai hidup orang lain. Hal ini berlaku pada Dol
Zaleh yang dituduh oleh Bomoh Sakinah telah meracun suaminya Kodri dan mati. Tuduhan
Bomoh Sakinah telah menyebabkan Dol Zaleh mendapat malu dan tidak menetap di
kampung itu kerana ada kalangan penduduk kampung yang percaya pada tohmahan itu. Dol
Zaleh menafikan tuduhan itu kerana baginya perbuatan menyantau dan membunuh itu bukan
perbuatan orang Islam. Tuduhan Bomoh Sakinah adalah bertitik tolak daripada
kepercayaannya yang Dol Zaleh ingin membalas dendam kerana tidak berjaya
mendapatkannya pada zaman muda mereka. Bomoh Sakinah tetap menuduh Dol Zaleh
sampai ke hari matinya. Penafian Dol Zaleh pada tohmahan itu dapat dilihat dalam petikan
berikut:
“Aku tak gunakan tuju-tuju, aku tak gunakan santau untuk bunuh
Kodri. Itu hanya fitnah, tohmah. Aku tak bunuh Kodri seperti toh-
mahan Kinah,” Raja Dabet terdengar-dengar penafian Dol Zaleh
pada Mardi. “Orang yang beriman, yang takwa pada Allah, tak
guna tuju-tuju, tak gunakan santau...” Dol Zaleh terhenti. “Itu
bukan kerja orang Islam.”
(Daerah Zeni:68)

Novel DZ karya A. Samad Said ini juga mengetengahkan isu galakan membaca tanpa
mengira seseorang itu sempurna atau tidak. Persoalan ini dapat dilihat melalui watak Lingko
iaitu seekor burung kakaktua yang sering menyeru penghuni ramah pesakit lumpuh agar
pesakit lumpuh membaca dan harus kuat. Seruan ini sering dijeritkan Lingko apabila ada

12
pelawat datang ke tempat itu. Seruan ini sering diulang Lingko dan diingati oleh penghuni
rumah itu seperti Zedi dan Zirah termasuk Egan walaupun selepas kehilangan Lingko.
Lingko sering mengulang ungkapan berikut:
“Orang lumpuh mesti loncat! Orang lumpuh mesti baca!”
(Daerah Zeni:23)

Persoalan keruntuhan akhlak dalam kalangan generasi muda juga dimuatkan


pengarang dalam novel ini. Masalah ini dapat dilihat melalui watak Zamuri iaitu bekas
tunang Zedi yang digambarkan angkuh dan sombong setelah mendapat pendidikan di luar
negara. Zamuri digambarkan hilang pedoman kerana menganggap hidup terlalu mudah dan
menyamakan kebebasan dengan wang. Bagi Zamuri janji mudah diputuskan dan itu adalah
lumrah dalam kehidupan. Zamuri turut memperalatkan wanita dengan wang dan
mengamalkan cara hidup yang bebas. Dalam suratnya kepada Zedi, ia telah menyindir
kehidupan derita Zedi akibat lumpuh dan menyakitkan hati Zedi. Bagi Zedi, Zamuri ialah
insan yang tidak tahu perjuangan dalam hidup. Pendidikan tinggi yang diterimanya
menyebabkan dia menjadi insan yang keras dan kasar jiwanya.

Persoalan kebebasan lebih penting daripada kebendaan turut menjadi isu dalam novel
ini. Ehran digambarkan watak yang memilih kebebasan hidup dengan berhenti kerja menjadi
kerani dan menjadi buruh binaan. Ehran juga tidak sependapat dengan ayahnya sehingga
hubungan dengan ayahnya menjadi renggang lebih-lebih lagi setelah mengetahui ayahnya
berkahwin dengan gadis muda dan ibunya hidup dalam kesedihan. Sejak itu Ehran tidak
mahu mengikut kehendak ayahnya dan menentukan jalan hidupnya sendiri dan bangga
menjadi buruh binaan. Tindakan Ehran menyebabkan ayahnya tidak membahagikan harta
kepadanya dan Ehran tidak menghiraukan wang kerana memilih kebebasan hidup. Pendirian
Ehran dapat dilihat dalam petikan berikut:
Dan apabila ayahnya cuba menekankan kuasa dengan meminta
janji dan kesetiaan darinya, Ehran merasa terkepung, terikat
malah terpenjara - sesuatu yang tidak digemarinya. Dan dari
segi kewangan barangkali dia banyak rugi dan akan terus rugi,
tapi Ehran lebih menghargai kebebasan.
(Daerah Zeni:60)

Isu mencintai alam sekitar tidak dapat dipinggirkan dalam novel ini. Watak seperti
Mardi, Raja Dabet, Chenniah, Hamdar dan Asihah dan Lazri Meon digambarkan amat
13
menghargai alam sekitar. Insan-insan ini mempelajari dan mengenal sistem berdasarkan akal
dan rasa semala jadi sehingga menjadi pemikir dan pengamat alam sekitar. Mereka
menghargai sistem alam dari yang kecil sehingga yang besar dan sedar yang sistem alam itu
tidak boleh dimusnahkan walaupun yang kecil seperti rama-rama dan ulat apatah lagi pokok-
pokok. Situasi ini dapat dijelaskan melalui salah satu petikan dalam novel DZ pada muka
surat 17:
Dan tiga empat ekor burung terbang lesu dicelah-celahnya,
menambahkan keindahan jejeran pokok tersebut. Mardi
melepaskan kapaknya, mengekori burung-burung yang ber-
legar tenang dan indah dicelah-celah cabang jejeran pokok
itu. Dia sungguh terharu. “Pohon-pohon pun bernyawa,”
dia ingat Mudir, abangnya berkata.

Setelah meneliti persoalan-persoalan tersebut, maka pemikirannya memperlihatkan


moral kehidupan masyarakat Melayu selepas dan sebelum merdeka yang sarat dengan konflik
sama ada dalaman atau luaran dalam usaha meneruskan kehidupan. Masyarakat Melayu
selepas merdeka diwakili watak-watak seperti Lazri Meon, Zeni, Zedi, Mohdi, Ehran dan
Zamuri. Watak-watak ini mengalami masalah yang tersendiri sehingga sukar menemukan
kebahagiaan dalam hidup mereka. Fikiran dan debat watak seperti Mohdi, Ehran, Zedi, Zeni
dan Lazri Meon jelas menggambarkan dekad atau zaman mereka hidup. Mereka hidup dalam
dekad negara sudah merdeka. Kemerdekaan negara perlu diisi dengan mempersoalkan
masalah diri sendiri, menyelesaikan masalah diri sendiri, mencari keuntungan diri sendiri,
rasa bersalah diri sendiri, perasaan berdosa pada keluarga sendiri tanpa melihat apa untung
dan ruginya orang lain apatah lagi negara (A. Samad Said : 1991 :16). Misalnya watak Lazri
Meon dikatakan mencari kebahagiaan dalam penderitaan kerana dia sengaja menghanyutkan
dirinya dengan perasaan bersalah atas kematian isteri, kelumpuhan Zedi dan kehancuran
rumah tangga Zedi. Mohdi juga berjuang mendapatkan haknya iaitu Zeni dengan cara yang
tidak direstui Zeni namun Mohdi tetap menyatakan yang dia merupakan saingan yang berhak
untuk mendapatkan Zeni. Manakala masyarakat sebelum merdeka berkonflik dengan
penjajah yang sentiasa memburu dan menakutkan mereka. Misalnya Hamdar menjadi
penghuni gerabak keretapi usang akibat diburu penjajah dan terpaksa melarikan diri dari
kampung serta membakar rumahnya namun tetap meneruskan perjuangannya bersama-sama
rakan yang lain. Watak-watak yang digambarkan dalam manuskrip Lazri Meon berjuang

14
menentang penjajah demi sebuah kebahagiaan dan kemerdekaan. Mereka hidup sandar-
menyandar dan tidak sahaja melihat kepentingan hidup sendiri malah negara. Fikiran-fikiran
mereka menggambarkan zaman atau dekad pada masa penjajahan.

Manakala mesej yang hendak disampaikan ialah kehidupan harus diteruskan


walaupun kita terpaksa berjuang dengan cara yang tersendiri. Berjuang untuk hidup adalah
hak individu dan hidup itu sendiri adalah perjuangan. Dengan kata lain perjuangan adalah
sesuatu yang mesti jika mahu terus hidup. Misalnya masalah ketandusan kasih sayang,
penderitaan dan kehilangan harus diatasi oleh setiap insan yang menghadapinya. Lazri Meon
mengatasi konflik dalam dirinya dengan menyendiri agar dapat mengenali dirinya di samping
mencari harga diri yang hilang. Manakala Zedi pula mahu menyelesaikan masalahnya
sendiri dengan cara yang tersendiri dan tidak mahu mendapat simpati serta campur tangan
kakak dan ayahnya walaupun lumpuh kakinya. Zeni pula tetap menjanda dengan alasan
mahu menjaga adiknya yang lumpuh dan cuba menangani sikap ayahnya yang berubah
setelah kematian ibunya. Watak-watak dalam manuskrip Lazri Meon sepanjang dua bab itu
pula berjuang dan bersatu untuk menentang penjajah demi sebuah kehidupan. Hamdar
bertindak sebagai perancang dan perencana atas tindakan yang hendak diambil. Manakala
Dol Zaleh pula melatih para pemuda termasuk Mardi dengan ilmu silat dan Raja Dabet
digambarkan sebagai keturunan bangsawan yang tidak sabar untuk menembak penjajah.

Motifnya pula adalah untuk menyedarkan masyarakat bahawa hidup bukan


sesuatu yang mudah dan setiap insan harus kuat dan bijak merencanakan hidupnya.
Perencanaan hidup yang tersusun akan dapat memajukan diri dan kita dapat memberi
sumbangan sama ada yang kecil atau besar. Kegagalan dalam merencanakan hidup
menyebabkan manusia terperangkap dalam penyendirian, kedukalaraan, kemurungan,
kerawanhibaan, kemurungan dan keharubiruan seperti yang dialami watak Lazri Meon
setelah kematian isteri yang dianggapnya cermin. Lazri Meon menjadi pengkhayal dan sukar
menghadapi realiti (Shahnon Ahmad : 1986 : 56). Kegagalan dalam mengurus hidup juga
menyebabkan seseorang bertindak di luar batasan norma dan nilai masyarakat demi mencapai
hasrat dan tujuan. Selain itu, kita tidak boleh mementingkan diri sendiri dalam berjuang
untuk hidup kerana ada insan lain yang memerlukan simpati dan timbang rasa daripada kita.
Manakala falsafah karya ini ialah permasalahan dalam hidup harus diatasi agar kehidupan itu
dapat memberi erti atau bermakna sama ada kepada diri sendiri atau orang di sekeliling.
15
Premisnya pula ialah setiap orang harus berjuang mengatasi masalah yang dihadapi
dengan cara yang bijaksana dan direstui masyarakat agar dapat meneruskan kehidupan.

Aspek moral atau pendidikan

Aspek moral atau pendidikan dalam novel DZ ini akan dikaji melalui peristiwa-peristiwa dan
perwatakan watak-wataknya. Peristiwa penyepian Lazri Meon dan tindakannya
menghilangkan diri dari rumah setelah dihantui perasaan bersalah dan berdosa kepada
isterinya sehingga membingungkan anak-anaknya dapat memberi pendidikan atau pengajaran
bahawa seseorang harus kuat dan tabah dalam menghadapi ujian dan cabaran dalam hidup.
Kita harus menerima realiti bahawa kehidupan itu bukan sesuatu yang mudah supaya dapat
membebaskan diri daripada masalah yang sering menghantui diri. Pengarang
menggambarkan Lazri Meon sebagai seorang yang takut menghadapi realiti dan boleh
dikatakan sebagai pengecut kerana tidak dapat menghadapi kegetiran ujian selepas Fatiyah
meninggal dunia. Pada saat dirinya menghadapi hari tua dan anak-anaknya memerlukan kasih
sayang dan perhatian daripadanya, dia terus menyendiri, merintih dan hidup dalam
penyesalan dan keterasingan. Situasi ini turut menyampaikan moral bahawa setiap tindakan
yang hendak diambil perlu difikirkan kesannya kepada diri dan orang lain.

Selain itu, peristiwa keruntuhan rumah tangga Zeni dengan Mohdi dan penderitaan
Zeni selama hidup bersama Mohdi yang tidak jujur menyampaikan moral yang penting
kepada khalayak pembaca. Moralnya setiap perhubungan sama ada hubungan kekeluargaan
mahu pun perkahwinan haruslah berlandaskan kejujuran kerana kejujuran amat penting untuk
meraih kepercayaan daripada orang lain. Tanpa kejujuran, kepercayaan sukar untuk diraih
malahan kita akan dipandang rendah oleh masyarakat yang mementingkan budaya ini dalam
kehidupan. Penipuan dan sikap panas baran Mohdi menyebabkan Zeni hidup menderita
seperti dalam neraka dan menganggap kata-kata Mohdi seperti pelakon yang berlakon di
pentas teater. Perbuatan Mohdi itu menyebabkan keruntuhan rumah tangga mereka dan Zeni
tidak dapat menerima Mohdi semula walaupun dipujuk dengan pelbagai cara. Penolakan
Zeni daripada menerima Mohdi memberi pengajaran kepada pembaca bahawa tidak semua
kehendak kita akan tercapai di dunia ini walaupun kita menggunakan kekerasan. Kekerasan
bukan jalan menyelesaikan masalah kerana cara ini akan menambah kebencian dan penutup
pada jalan penyelesaian serta bukan budaya dalam masyarakat kita.
16
Peristiwa atau kisah manusia lumpuh menghadapi kehidupan mereka dengan tenang
dan tabah menyampaikan pendidikan bahawa kita harus pasrah pada takdir dan bersyukur
kerana masih diberi peluang untuk hidup walaupun kurang sempurna. Watak-watak yang
lumpuh digambarkan pengarang memandang hidup secara positif dan mempunyai kekuatan
dalaman. Zedi dan Zirah tidak pernah menyesali akan takdir atau menyalahkan sesiapa atas
musibah yang menimpa hidup mereka dan terpaksa menjalani rawatan di rumah pesakit
lumpuh itu. Moral ini dapat memberikan semangat kepada mereka yang senasib dengan Zirah
dan Zedi dalam menghadapi kehidupan sebagai insan lumpuh. Hal ini turut mengajar
pembaca agar menghargai kehidupan ini kerana kehidupan adalah anugerah yang amat
bermakna dan beerti. Oleh itu, kita akan berjuang demi meneruskan kehidupan jika kita
menerima takdir dengan redha.

Di samping itu, peristiwa tohmahan dan tuduhan Bomoh Sakinah terhadap Dol Zaleh
menyampaikan moral yang tidak kurang pentingnya kepada khalayak pembaca. Dol Zaleh
terpaksa meninggalkan kampung halamannya dan hidup terasing daripada rakan-rakannya
yang lain akibat fitnah itu. Moralnya perbuatan memfitnah dan membuat tohmahan harus
dielakkan kerana perbuatan itu bukan sahaja menganiayai orang lain tetapi adalah salah di
sisi agama Islam. Orang yang suka memfitnah ialah orang yang terpesong akidahnya dari
landasan agama kerana perbuatan itu merupakan dosa besar dan perbuatan ini amat buruk di
mata masyarakat. Malahan dalam agama Islam perbuatan memfitnah lebih besar dosanya
daripada membunuh. Moral ini kekal sehingga ke akhir zaman bukannya pada zaman itu
sahaja. Dalam agama Buddha, perbuatan memfitnah juga merupakan suatu dosa dan
termasuk dalam lima larangan utama ajaran agama itu dan sesiapa yang memfitnah akan
mendapat balasan dalam pelbagai bentuk. Jelaslah bahawa perbuatan memfitnah itu harus
dijauhi oleh setiap orang supaya kita dapat hidup dalam suasana yang harmonis dan tidak ada
insan yang teraniaya.

Peristiwa penentangan dan kebencian masyarakat sebelum merdeka kepada penjajah


yang dipaparkan pengarang dalam novel ini menyampaikan moral yang amat besar dan
bermakna kepada masyarakat. Moralnya kita harus berjuang membela tanah air dengan
menentang penjajah supaya dapat hidup bebas dan merdeka. Orang Melayu dalam novel ini
bersatu menentang penjajah yang kejam dan mengancam ketenteraman hidup mereka.Namun
ada orang Melayu yang menjadi tali barut Inggeris dalam kesibukan sebahagian lagi
17
merancang penentangan. Golongan yang menentang ini menggambarkan semangat dan cita-
cita mereka yang besar untuk kepentingan tanah air. Kehidupan yang daif tidak mematahkan
semangat juang mereka untuk menentang penjajah malahan mereka giat mempelajari ilmu
silat dan ilmu batin sebagai usaha menentang penjajah yang mempunyai senjata api yang
lengkap. Semangat juang yang tinggi ini harus disemai dalam diri masyarakat tanpa mengira
zaman kerana semangat ini akan melahirkan generasi yang tidak mengalah pada sebarang
penindasan dan penjajahan walaupun pada era kita sudah merdeka.

Peristiwa watak seperti Lazri Meon, Mardi, Mudir termasuklah Mohdi yang
mengagumi dan mencintai alam sekitar di sekeliling mereka dari yang kecil sehingga yang
besar menyampaikan moral bahawa kita harus menghargai makhluk lain yang bernyawa
kerana alam, haiwan dan manusia saling berkaitan dan bersebatian antara satu sama lain
untuk meneruskan kelangsungan hidup. Misalnya watak Chenniah dan dua ekor burung
gagak menggambarkan hubungan manusia dan haiwan yang amat rapat dan Chenniah
digambarkan hilang bersama-sama hilangnya kedua-dua ekor burung gagak itu. Moralnya
juga benda yang sekecil manapun ada gunanya kepada kehidupan manusia. Pengajaran
daripada peristiwa ini akan dapat menyedarkan pembaca khasnya generasi muda, pemaju,
dan pihak yang berkaitan agar menghargai dan menyayangi alam sekitar. Pembangunan
haruslah dirancang untuk mengelak kemusnahan walaupun pembangunan itu perlu. Hal ini
kerana masalah kemusnahan alam sekitar merupakan isu global yang perlu ditangani untuk
menjaga keseimbangan alam sekitar dan mengurangkan pencemaran. Moral ini juga dapat
mendidik generasi muda agar menyayangi dan menghargai alam sekitar.

Aspek didaktik atau pengajaran novel DZ juga dapat dicungkil melalui watak dan
perwatakan dalam novel ini. Watak pertama yang dilihat dalam kajian ini ialah watak Zeni.
Zeni mempunyai sikap tidak mudah mengalah pada kehendak orang lain atau tidak termakan
pujukan. Misalnya Zeni tidak tunduk dengan kehendak Mohdi yang mahu kembali semula
kepadanya. Ancaman dan ugutan Mohdi tidak melemahkan semangatnya dan dia tidak
berganjak dari keputusannya menolak Mohdi. Malahan kegagalan rumah tangganya bersama
Mohdi telah menjadikan dia seorang yang berhati-hati dalam membuat keputusan untuk
menerima Ehran yang digambarkan jujur dan tidak mempersoal kejandaan Zeni. Zeni
menjadi seorang yang bijak, tidak terburu-buru, waras, melawan, pandai berhujah dan
defensif bagi mengelak dirinya daripada mencecapi jadam rumah tangga bagi kali kedua.
18
Moralnya seseorang haruslah berhati-hati dalam membuat keputusan kerana kesilapan
membuat keputusan dapat memusnahkan masa depan. Pengajaran ini sangat penting kerana
hampir setiap hari kita membuat keputusan dalam menentukan arah kehidupan kita. Dalam
membuat keputusan, kita juga memerlukan pendirian yang tegas supaya keputusan yang
dibuat tidak diperkotak-katikkan oleh orang lain. Kebijaksanaan dan sikap berhati-hati Zeni
ini perlu dicontohi dan dibudayakan dalam kehidupan masyarakat yang sezaman dengannya
dan masyarakat pada akhir zaman.

Watak Zedi yang lumpuh diberikan pengarang kekuatan dalaman yang luar biasa
dalam mengharungi hidupnya. Kaki yang lumpuh dan terpaksa berkerusi roda, kehilangan
ibu, kehilangan tunang, gangguan Mohdi terhadap kakaknya, perubahan sikap ayahnya dan
cemuhan Zamuri kepadanya tidak meninggalkan kesan kepadanya. Malahan Zedi
berpendapat yang penderitaan tidak patut dikongsi oleh semua orang dan dia tidak mahu
dimanjakan oleh kakaknya. Zedi mahu kakaknya berkahwin dengan Ehran agar dapat
menemukan kebahagiaan hidup dan tidak payah risau akan dirinya yang telah menerima
kelumpuhan dengan pasrah dan sebagai takdir yang tidak dapat dihindarkan. Pengarang
menggambarkan Zedi lebih realis dalam menerima kenyataan hidup dan menasihati kakaknya
agar tidak mengalah pada apa sahaja keadaan. Moralnya kita harus cekal dan pasrah
menerima takdir hidup. Keredhaan menerima takdir akan memberi kekuatan dalaman kepada
kita untuk berjuang meneruskan kehidupan. Kecekalan watak Zedi menghadapi segala
kekusutan dan masalah dengan caranya sendiri bukan sahaja dapat memberi kekuatan kepada
golongan senasib malah mereka yang sempurna sifatnya. Dengan kata lain, kehidupan harus
diteruskan kerana kehidupan itu amat berharga.

Pengarang novel ini turut memberikan moral yang positif melalui watak Ehran. Ehran
digambarkan seorang pemuda yang jujur dan ikhlas pada pandangan mata Zeni dan berterus
terang tentang keinginannya untuk menjadikan Zeni itu isterinya walaupun Zeni itu
diumpamakannya sebagai wanita yang tidak berpintu dan bertingkap. Ehran tidak
mempersoalkan kejandaan Zeni walaupun Zeni sering mengingatkannya tentang hal itu
malah melihat keajaiban dalam diri Zeni sebagai wanita. Moralnya sikap jujur dan ikhlas
kepada orang lain akan memudahkan seseorang mendapat kepercayaan dalam usaha
mencapai sesuatu yang diingini. Moral ini penting dalam kehidupan manusia kerana manusia
yang ikhlas dan jujur bilangannya agak kecil di dunia ini. Kita harus mempertahankan sikap
19
ini dan mengamalkannya dalam kehidupan seharian. Ehran juga digambarkan mempunyai
falsafah hidup yang tersendiri iaitu orang yang berilmu adalah orang yang besar dan dia mahu
memberikan sumbangan yang besar dalam pembangunan dengan membina bangunan
menggunakan tangannya sendiri. Ehran melihat penglibatannya sebagai suatu cita-cita
membina bangsanya dan mahu menyumbangkan sesuatu yang lebih besar untuk bangsanya.
Oleh itu, dia telah berhenti kerja sebagai kerani dan menjadi buruh binaan. Moralnya kita
harus memberi sumbangan kepada bangsa dan negara tanpa mengambil kira peranan itu kecil
atau besar. Mereka yang berperanan sebagai buruh binaan walaupun berjawatan kecil tetapi
memberi sumbangan yang besar kepada negara dan bangsanya dalam pembangunan. Situasi
ini akan dapat menyedarkan masyarakat khasnya generasi muda yang hanyut dengan arus
pemodenan supaya memberikan sumbangan yang bermakna kepada bangsa dan negara.

Watak Fatiyah yang hanya muncul melalui fantasi Lazri Meon digambarkan dengan
amat berkesan dan berpengaruh dalam novel ini. Kekecewaan, kesedihan, keterasingan,
kehilangan kasih sayang dan kehilangan cermin termasuk matlamat hidup seperti yang
dialami oleh Lazri Moen adalah penangan watak Fatiyah yang telah tiada. Fatiyah adalah
simbol keharmonian dan kebahagiaan, sumber perjuangan, pelindung dan pemaham bagi
Lazri Meon dan anak-anaknya. Kematian Fatiyah telah meranapkan keluarga ini sehingga
terpaksa berjuang untuk meneruskan hidup dengan cara tersendiri. Lazri Meon amat berdosa
kepada Fatiyah dan sentiasa menyesali perbuatannya yang mengabaikan isteri dan anak-
anaknya kerana mengutamakan perjuangan. Moralnya di sini ialah kita haruslah menghargai
pengorbanan seseorang itu semasa keberadaannya di sisi kita kerana kelewatan menyedarinya
akan membuatkan kita menyesal. Moral ini mengingatkan setiap insan bahawa jangan leka
dan lupa pada orang di sisi kita walaupun kita mempunyai tugas yang besar kerana
kehilangannya akan membuat kita menyesal suatu hari nanti. Hal ini bersesuaian dengan
pepatah lama dalam kehidupan masyarakat iaitu ‘sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian
tidak berguna’.

Lingko yang merupakan watak bukan manusia dalam novel ini turut menyampaikan
moral yang positif. Lingko digambarkan peka akan alam di sekelilingnya sehingga timbul
niat untuk memberi nasihat. Suara Lingko ialah suara pengarang untuk menggalakkan
masyarakat membaca pada dekad mengisi kemerdekaan. Seruan ini diulang beberapa kali
dalam novel ini melalui watak Lingko iaitu “Orang lumpuh mesti loncat! Orang lumpuh
20
mesti baca!”. Moralnya setiap orang harus membaca kerana amalan membaca
akanmenambahkan ilmu pengetahuan tanpa mengira orang itu sempurna atau tidak. Amalan
membaca samalah seperti kita menuntut ilmu yang perlu dilakukan sepanjang hayat untuk
meningkatkan kecelikan dan tahap pendidikan. Amalan dan galakan membaca sudah menjadi
agenda nasional dan mendapat perhatian daripada pelbagai pihak. Satu lagi moral yang ingin
disampaikan Lingko ialah golongan yang kurang bernasib baik harus kuat dan cekal dalam
menghadapi hidup. Kedua-dua moral ini sangat penting dalam kehidupan setiap insan yang
mahu maju dan berjuang meneruskan hidup.

Novel ini tidak ketinggalan dalam melantunkan moral yang negatif melalui watak
Mohdi dan Zamuri namun dapat memberi sempadan kepada pembaca yang sikap-sikap
negatif tidak harus diikuti dan dicontohi. Mohdi digambarkan sebagai seorang yang degil dan
mahu mendapatkan sesuatu secara paksa tanpa memikirkan perasaan orang lain. Mohdi
sanggup bergaduh, mengancam dan mengugut demi kemenangan mendapatkan bekas
isterinya. Oleh itu, Mohdi telah mengugut Ehran agar melepaskan Zeni dan menggertak Zeni
yang dia masih saingan yang hak untuk mendapatkan Zeni. Keegoannya tercabar apabila dia
tahu Ehran hanyalah seorang buruh binaan dan dia tidak akan mengalah dengan seorang
buruh binaan. Mohdi menilai seseorang melalui status tanpa memikirkan masih ada manusia
di alam ini yang mementingkan kesucian hati. Mohdi juga memandang rendah pada wanita
dan menganggap wanita seperti bola yang harus dikejar jika mahu mendapatkannya. Dia juga
sanggup menggunakan jalan kotor demi mendapatkan wang iaitu dengan menipu pihak
tertentu. Pengarang melukiskan Mohdi ini sebagai insan yang tidak bermoral dan falsafah
hidupnya adalah kemenangan harus dicapai walau dengan apa cara pun. Prinsip yang negatif
ini bertentangan dengan budaya dan norma dalam masyarakat. Namun pengarang tidak
memberikan hukuman kepada watak Mohdi yang banyak menyakitkan dan membuat hidup
wanita menderita. Bagaimanapun penolakan dan pengukuhan sikap melawan dan tidak
mengalah Zeni merupakan hukuman pada watak Mohdi. Zedi turut menyokong kakaknya
agar jangan mengalah pada apa jua keadaan termasuk menuruti kehendak Mohdi. Jadi Mohdi
tidak akan dapat memiliki Zeni semula kerana kemungkinan Zeni akan menerima Ehran.
Tambahan pula Lazri Meon sendiri menyuarakan kebanggaannya pada Ehran walaupun
seorang buruh binaan dan situasi ini menggambarkan yang peluang Mohdi memang tertutup
untuk memiliki Zeni semula. Perwatakan Mohdi ini mengantar pengajaran bahawa perbuatan
jahat harus dielakkan kerana perbuatan itu pasti akan mendapat balasan suatu hari nanti dan
21
perbuatan ini melanggar norma-norma dan nilai dalam masyarakat yang berbudaya mulia.

Watak Zamuri dalam novel ini dibiarkan pengarang lepas bebas dengan cara hidupnya
yang tidak bermoral. Zamuri yang menuntut di luar negara digambarkan cepat terpengaruh
dengan cara hidup masyarakat Barat dan hilang pedoman. Oleh itu, Zedi menggambarkan
watak Zamuri sebagai manusia yang berubah sebelum keadaan berubah dan dia cepat
diwarnakan oleh keadaan. Ilmu pengetahuan yang dituntutnya menjadikannya bongkak dan
tidak berperasaan. Walaupun berpendidikan tetapi tidak membangun dari segi akhlak dan
sahsiah sebaliknya mengalami keruntuhan akhlak dan moral. Watak ini tidak memiliki
perasaan halus seperti simpati, bertimbang rasa dan dukacita kerana jiwanya sudah menjadi
kasar dan berkarat oleh materialisme. Zamuri menyamakan wang dengan kebebasan dan
memperalatkan wanita yang mahukan kemewahan hidup. Perbuatan Zamuri dalam novel ini
bukan sahaja bertentangan dengan budaya malah bercanggah dengan ajaran agama Islam.
Watak Zamuri langsung tidak mendapat sedikit pun hukuman dan pengarang membiarkan
watak ini hilang pedoman hidup dan tiada keimanan. Situasi ini berkaitan dengan
realiti kehidupan di dunia ini yang tidak semua kejahatan yang dilakukan akan mendapat
balasan dengan segera. Hal ini demikian kerana dalam ajaran Islam, jika seseorang yang jahat
itu tidak mendapat balasan di dunia, maka dia tidak akan terlepas daripada balasan di akhirat
nanti. Moralnya di sini setiap perbuatan jahat akan mendapat balasan yang setimpal di akhirat
nanti kerana semua perbuatan manusia akan dihisab sama ada yang baik atau buruk. Moral
ini dapat mengingatkan dan menyedarkan pembaca agar menjauhi perkara yang keji dan
bertentangan dengan ajaran agama dan kita harus ada pegangan dalam hidup walau di mana
kita berada.

Manakala watak Raja Dabet, Hamdar, Lazri Meon dan Mardi digambarkan
mempunyai semangat juang yang tinggi dalam mempertahankan tanah air dan menentang
penjajah. Lazri Meon sendiri berkorban dan sibuk dengan perjuangannya menuntut
kemerdekaan melalui UMNO. Raja Dabet, Hamdar dan Mardi yang mewakili masyarakat
pada zamannya bersatu menentang penjajah dengan merancang proses penentangan mereka
dengan teliti. Watak-watak yang biasa dan kecil ini berjiwa besar dan diberikan pengarang
kelebihan yang luar biasa untuk meneruskan perjuangan mereka menentang penjajah. Sikap

22
begini dipandang tinggi dalam budaya masyarakat kita kerana mempunyai sumbangan yang
besar kepada tanah air. Pengajaran yang dapat kita simpulkan daripada perwatakan watak-
watak ini ialah semangat juang yang tinggi menentang penjajah harus ditanam dalam
sanubari setiap orang agar kita dapat menjadi bangsa yang bebas dan merdeka. Moral yang
murni ini harus dibudayakan dan disemai kepada setiap anak bangsa supaya dapat
menyedarkan mereka dan meningkatkan semangat cinta akan tanah air.

Watak-watak seperti Pon Raini dan Maneerah misalannya, walaupun berperanan kecil
dalam novel tetapi mempunyai cita-cita dan cita rasa. Pon Raini merupakan ketua badan belia
dan pernah bergiat membantu calon pilihan raya serta bercita-cita untuk bertanding dalam
pilihan raya. Manakala watak Maneerah pula merupakan penghidup tempat menunggu bas
kerana suka membaca rakaman seseorang untuk dirinya. Moralnya kepada masyarakat ialah
siapa pun kita, maka harus memberi sumbangan kepada bangsa dan negara daripada menjadi
pengkhianat bangsa. Moral ini amat sesuai disuguhkan kepada pembaca khasnya pada zaman
kita dituntut mengisi kemerdekaan.

Rumusannya, dasar moral atau pendidikannya ialah setiap insan harus bangkit dari
belenggu dan masalah kehidupan semalam agar terus cekal, kuat dan maju seiring dengan
pembangunan negara yang sezaman dengannya serta dapat memberikan sumbangan yang
bermakna. Kita tidak boleh terus berkhayal memikirkan kesudahan nasib tetapi harus
meningkatkan keyakinan dan jati diri agar hidup lebih bermakna dan beerti. Namun dalam
usaha meneruskan perjuangan hidup, kita tidak boleh memikir dan mementingkan diri sendiri
sahaja sehingga lupa landasan, moral, dan pegangan dalam hidup. Dalam negara yang baru
berkembang selalunya masyarakat keliru tentang norma sehingga sukar memilih yang mana
betul dan salah. Anggota masyarakat hilang pegangan sehingga tidak segan silu melakukan
perbuatan keji dan menghalalkan cara (Abdullah Hussain :1997:141). Kita memikirkan
perasaan kepentingan orang lain serta tidak leka dengan tanggungjawab terhadap alam
sekeliling kerana manusia dan alam saling bergantungan untuk kelangsungan hidup. Moral-
moral yang terkandung dalam novel ini memberi pengajaran yang bermakna kepada anggota
masyarakat khasnya pembaca.

Aspek nilai karya


Aspek nilai karya akan dilihat berdasarkan nilai keagamaan, kemasyarakatan, nilai murni
23
dan isu yang mempunyai nilai yang tinggi dalam karya ini. Nilai keinsafan dimuatkan
pengarang dalam novel ini. Lazri Meon digambarkan insaf akan kesilapannya yang lalu. Dia
pernah menghalang Zedi dan mahu memilih jodoh untuk Zedi. Tindakan Lazri Meon ini
dibayangi oleh budaya masyarakat Melayu pada zaman dahulu yang menentukan jodoh untuk
anak-anak mereka. Namun setelah keretakan rumah tangga Zeni, dia insaf dan memberi
peluang untuk anak-anaknya memilih sendiri. Lazri Meon mengaku yang dia tidak mampu
menyelami hati generasi muda dan memberi kebebasan kepada anak-anaknya memilih jodoh
mereka. Dia juga insaf bahawa hidup bukan sesuatu yang mudah dan mesti kuat untuk
menghadapinya. Hal ini terbukti melalui kata-kata Lazri Meon dalam petikan berikut:
Tapi, sehari kemudian Lazri Meon juga yang kelihatan cuba tegap
dan sedikit tenang berkata: “Semua akan berakhir begini. Kita
mesti sentiasa insaf hidup bukannya senang seluruh. Bila-bila
masa ada kekalahan. Kita mesti kuat.”
(Daerah Zeni:109)

Keinsafan watak ini menggambarkan berlakunya perubahan dalam dirinya untuk mempunyai
kesedaran dan kekuatan menghadapi masalah dalam hidup.Oleh itu, setiap insan yang
melakukan kesilapan harus insaf. Nilai ini dapat mengajar pembaca agar menginsafi setiap
kesalahan yang dilakukan kerana amalan ini amat terpuji dan mulia di sisi masyarakat.

Ada pihak yang berpendapat bahawa pengarang novel ini meringankan peranan
agama dan bebas dari segi kepercayaan dan akidah. Namun hal ini disangkal oleh A. Samad
Said dalam bukunya Bersama Samad ke Daerah Zeni pada halaman 140-141:
“Saya tak ingat, siapa itu, pernah mengatakan bahawasanya
Lazri Meon itu seorang yang kacau, yang tidak dapat kembali
ke agama. Insan-insan saya tidak cuba untuk kembali kepada
Tuhan dan agama. Tapi itu tidak benar, sebab bagi orang yang
berkata begitu , kembali ke agama itu harus kembali dan ditun-
jukkan langkah satu persatu, tapi bagi saya dengan imbasannya
sudah mencukupi. Lazri Meon seorang yang sembahyang
sebenarnya”.

Petikan tersebut jelas membuktikan bahawa novel ini ada memaparkan nilai ketakwaan dan
beribadat kepada Allah. Lazri Meon digambarkan bersolat semasa mengunjungi Zeni di
rumah. Semasa menyepi, dia tinggal di rumah kawannya di sebelah madrasah dan membaca
kitab-kitab agama lama dan baru. Madrasah itu ialah tempat untuk belajar agama dan sudah
pasti Lazri Meon ada mengikuti kelas agama di situ. Manakala watak-watak seperti Zeni,
24
Zedi, Hamdar, Mardi dan Dol Zaleh kecuali Bomoh Sakinah yang sedang nazak, Mohdi dan
Zamuri digambarkan membaca kitab-kitab agama, membaca surah yassin dan berpuasa.
Pengarang menyampaikan nilai ini dengan gaya yang santai dan tidak dipaksa-paksa
untuk memberikan moral yang baik kepada pembaca. Jelasnya pengarang tidak
meminggirkan nilai-nilai keagamaan dalam karyanya. Nilai ini memang amat sesuai
dimuatkan dalam kisah masyarakat yang penuh dengan masalah dan kecelaruan dalam
kehidupan kerana salah satu jalan penyelesaian untuk mencari kekuatan dalaman adalah
dengan beribadat dan berdoa kepada Yang Berhak. Nilai ini dapat mengajar pembaca dan
masyarakat supaya memperkukuh kepercayaan beragama dengan tergilapnya sikap-sikap
ikhlas,taat dan takwa serta sedar adanya Pencipta.

Nilai kecekalan dan ketabahan dalam menghadapi ujian hidup yang getir
dikemukakan pengarang dengan jelas dalam novel ini. Situasi ini merujuk kepada watak-
watak yang menghuni rumah pesakit lumpuh seperti Zedi, Zirah dan Egan yang cekal dan
tabah menjalani kehidupan seharian dengan berkerusi roda. Mereka pasrah dengan takdir dan
saling mengambil berat antara satu sama lain walaupun keadaan hidup mereka menderita.
Nilai ini juga dapat dilihat pada watak Zeni yang bangkit semula daripada penderitaan yang
dicipta oleh Mohdi bekas suaminya. Watak seperti Hamdar juga cekal dan tabah kerana telah
kehilangan ibunya sejak berusia dua belas tahun dan tinggal di hutan bersama ayahnya dalam
usia itu kerana diburu penjajah. Kecekalan dan ketabahan dalam menghadapi ujian seperti ini
dapat mengajar pembaca agar tabah dan berjuang untuk hidup dengan cara yang direstui.
Pembaca akan dapat menjadikan penderitaan dan masalah dalam hidup sebagai rencah
kehidupan dan berjuang melepaskan diri dari segala penderitaan tersebut.

Masyarakat dalam manuskrip Lazri Meon walaupun setakat dua bab, menggambarkan
masyarakat yang bersatu dan bekerjasama dalam usaha meneruskan perjuangan untuk hidup
dan berjuang menentang penjajah. Dengan kata lain wujudnya nilai kerjasama dalam
masyarakat tersebut. Walaupun mereka hidup dalam zaman penjajahan tetapi mereka tidak
mengabaikan kebajikan dan keselamatan masyarakatnya dan sentiasa mengambil berat antara
satu sama lain. Mardi misalnya sering mengunjungi Asihah dan dua anaknya semasa Murdi
pergi bertapa menuntut ilmu. Zedi dan Zeni juga kadang-kadang berbincang tentang
perubahan sikap ayah mereka dan mereka berusaha menyelami dan memahami ayah mereka

25
melalui skrip sepanjang dua bab itu. Situasi ini menggambarkan ada kerjasama antara mereka
untuk membantu ayah yang kehilangan keyakinan diri. Nilai ini amat penting dalam
masyarakat dan berkaitan dengan peribahasa “berat sama dipikul dan ringan sama dijinjing,”
dalam masyarakat Melayu. Amalan kerjasama akan dapat memudahkan yang susah dan
meringankan beban yang ditanggung oleh sesuatu kelompok masyarakat atau individu. Nilai
ini turut mengajar pembaca menjadi orang yang sensitif terhadap sesama insan, masyarakat
dan negaranya serta sedia bekerjasama dan berkorban mempertahankan tanah air.

Selain itu, nilai maruah diri juga diserapkan dalam karya ini. Lazri Meon
menanamkan semangat serikandi dalam diri anak-anaknya agar tidak menjadi hamba atau
mangsa penindasan. Peristiwa ini dapat dilihat dalam petikan berikut:
Ketika kecilnya juga, Zedi masih teringat bagaimana ayahnya
menanam semangat serikandi pada mereka dua beradik –
jangan dibiarkan diri menjadi dayang atau hamba, katanya.
jadilah wanita yang sedia berganding bahu “boleh ke dapur,
boleh ke lumpur, boleh bertempur sebelum ke kubur”(kata-
kata ayahnya sendiri).
(Daerah Zeni:108)

Petikan tersebut menggambarkan bahawa kita harus menjaga maruah diri kita agar tidak
diperlekeh orang lain sesuka hati dan sebaik-baiknya kita harus menjadi manusia yang serba
boleh iaitu dapat memberi sumbangan serta dapat berjuang untuk kepentingan bangsa. Nilai
ini dapat mengajar pembaca agar menjaga maruah diri dan memikirkan bentuk-bentuk
sumbangan yang dapat memberi manfaat kepada pihak lain. Nilai ini dapat mengangkat
maruah sesuatu bangsa dan melahirkan bangsa yang bermaruah.

Novel DZ ini dapat dikatakan mempunyai nilai karya yang tinggi. Hal ini demikian
kerana karya ini juga mengutarakan nilai moral yang penting kepada bangsa dan negara.
Galakan atau seruan amalan membaca yang telah dibincangkan di bahagian isi karya dalam
novel ini merupakan isu nasional di negara kita. Setiap tahun kerajaan akan mengadakan
‘Bulan Membaca’ dan kempen untuk menggalakkan masyarakat membaca supaya dapat
menjadi masyarakat yang berilmu. Pihak Kementerian Pelajaran pula mewajibkan Program
NILAM di setiap sekolah dalam usaha menggalakkan generasi muda membaca. Hal ini
demikian kerana orang yang berilmu akan dipandang tinggi dan dikatakan ‘orang besar’
kerana ketinggian ilmunya. Isu moral ini dapat memberi kesedaran kepada masyarakat
26
bahawa amalan membaca adalah amalan yang mulia. Tambahan pula di dalam Al-Quran ada
peristiwa Jibrail menyuruh Nabi Muhammad (s.a.w) yang tidak tahu membaca itu
mengikutinya. Itulah titik permulaan ilmu moral dunia mutakhir yang diturunkan oleh
Allah subhanahu wa taala kepada Muhammad, Rasul-nya (Abdullah Hussain : 1997 : 116).
Hal ini memberi panduan kepada kita betapa pentingnya amalan membaca untuk
mendapatkan ilmu dalam kehidupan manusia pada akhir zaman kerana amalan ini dapat
meningkatkan keintelektualan dan kewarasan seseorang.

Isu moral lain yang mempunyai nilai yang tinggi ialah isu alam sekitar yang
diketengahkan melalui sikap cinta akan alam sekitar melalui watak-watak dalam karya ini.
Isu ini bukan sahaja menjadi isu nasional tetapi telah menjadi isu penting di peringkat global.
Setiap tahun masalah alam sekitar dibincangkan dan kempen-kempen diadakan untuk
menanam nilai cinta akan alam. Misalnya kerjasama serantau diadakan antara Malaysia dan
Indonesia dalam usaha mengatasi masalah pencemaran akibat jerebu. Malahan piak
Kementerian Pelajaran telah memperkenalkan subjek Alam Sekitar di sesetengah sekolah
untuk mendidik generasi muda agar menghargai alam sekitar dan menyumbang untuk
memuliharanya. Moralnya kita perlu mencintai alam sekitar dan menjaga serta
memeliharanya daripada tercemar supaya generasi yang akan datang dapat menikmati
keindahan dan kehijauan alam. Nilai ini amat penting kepada pembaca kerana dapat
mewujudkan sensitiviti kepada alam sekitar yang kian tercemar di negara kita.

Penutup

Kesimpulannya, walaupun novel ini memaparkan perjuangan hidup insan-insan yang


bercelaru dan sarat dengan masalah dalam diri mereka, namun setiap watak mempunyai cara
berfikir yang tersendiri tentang kehidupan. Watak-watak yang biasa dan mengalami
permasalahan dalam hidup digambarkan mampu memberi sumbangan kepada negara
walaupun kecil. Corak dan cara pemikiran ini membawa kepada persoalan-persoalan dan
nilai-nilai moral yang dapat dijadikan pengajaran dalam kehidupan serta memajukan moral
masyarakat. Unsur-unsur didaktik atau moral yang banyak dipaparkan dan dicungkil melalui
peristiwa dan perwatakan watak-wataknya serta terdapat nilai karya yang tinggi di dalam
novel ini menjadikan novel ini penting dan tinggi nilainya serta tergolong dalam karya yang
bermoral dari sudut pendekatan moral.
27
BIBLIOGRAFI

A.Samad Said. 1985. Daerah Zeni. Selangor : Fajar Bakti.

A.Samad Said. 1991. Bersama Samad ke Daerah Zeni. Selangor : Marwillis Publisher &
Distributor.

Abdullah Hussain. 1997. Sastera memperkukuh kepercayaan beragama. Dlm. Urus Setia
Panel Anugerah Sastera Negara (pngr.). Sastera dan kemanusiaan, hlm. 109-121.
Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.

Arpan Shahbudin. 1999. Sastera harus membentuk moral. Dewan Sastera April : 9.

Fatimah Busu. 1992. Daerah Zeni : kolaj novel Malaysia masa depan. Dewan Sastera
Oktober :82.

Hashim Awang. 1998. Teori dan kritikan kesusasteraan Melayu. Dewan Sastera Oktober :
92-93.

Lorens Bagus. 1996. Kamus filsafat. Jakarta : Pustaka Utama.

Mana Sikana. 1990. Sastera Melayu moden : perubahan dan tamadun. Selangor : Penerbit
Karyawan.

Mana Sikana. 2009. Kritikan sastera Melayu moden. Singapura : Pustaka Karya.

Rahman Shaari. 1994. Kritikan sastera Melayu : pendekatan dan pemikiran. Kuala Lumpur :
Dewan Bahasa dan Pustaka.

Siti Aisah Murad (pngr.). 2007. A. Samad Said dalam esei dan kritikan. Kuala Lumpur :
Dewan Bahasa dan Pustaka.

28

Vous aimerez peut-être aussi