Vous êtes sur la page 1sur 3

USAHA-USAHA MEMARTABATKAN BAHASA MALAYSIA

Malaysia dan Nusantara mempunyai bahasa pertuturan tersendiri, iaitu bahasa Malaysia. Bahasa
Malaysia telah menjadi bahasa perhubungan atau lingua franca lebih 600 tahun lalu, lebih lama daripada
bahasa Inggeris yang hanya bermula pertengahan kurun ke-16. Sejak tahun 1955, bahasa Malaysia telah
dinobatkan sebagai bahasa kebangsaan negara dan telah menjadi bahasa rasmi sejak merdeka. Pada
tahun 1967, sepuluh tahun selepas merdeka, bahasa Malaysia menjadi bahasa kebangsaan bahasa rasmi
yang termaktub dalam Perlembagaan Negara, iaitu Perkara 152. Krisis baharu yang melanda bahasa
Malaysia ialah rakyat negara ini semakin meminggirkan bahasa Malaysia yang merupakan bahasa
kebangsaan.

Krisis ini berpunca daripada tanggapan yang salah oleh masyarakat tentang kemampuan bahasa
Malaysia sebagai bahasa kemajuan negara ini. Faktor kedua berpunca daripada sikap orang Melayu
sendiri. Hal ini berlaku demikian kerana orang Melayu yang berkuasa telah meminggirkan bahasa
Malaysia daripada rancangan pembangunan. Mereka tidak mahu menyokong rancangan pembinaan
kepustakaan bahasa Malaysia. Jika keadaan ini dibiarkan berterusan, janganlah terkejut jika negara kita
terus tertinggal dalam arus kemajuan, muflis dalam bidang ilmu, teknologi, dan budaya serta akhirnya
terkubur di negara sendiri. Rata-rata, ibu bapa mendidik anaknya bertutur dalam bahasa Inggeris,
kononnya jika tidak menguasai bahasa asing itu, mereka sukar mendapat pekerjaan.

Dalam dunia korporat, orang-orang Melayu sendiri malu untuk bertutur dalam bahasa Malaysia
dengan bangsanya sendiri, kononnya takut dikatakan kolot, ketinggalan zaman, tidak bertamadun atau
tertinggal dalam arus teknologi moden. Bangsa kita tidak terdesak untuk mencipta ilmu dan teknologi
baharu kerana ilmu itu dapat diperoleh dan dibeli dari dunia lain sama ada dari barat atau timur
sehingga bahasa Malaysia menjadi peniru atau pengguna. Kita janganlah menuding jari kepada sesiapa
jika bahasa Malaysia dipinggirkan kerana kita sendiri yang enggan atau malu untuk menjadikan bahasa
Malaysia sebagai bahasa sains dan teknologi, bahasa pencipta ilmu dan budaya atau bahasa bertamadun
tinggi. Masyarakat kita sendiri lebih mementingkan bahasa Inggeris sebagai alat kemajuan, malah dalam
perbualan seharian sesama sendiri, kita lebih berminat menggunakan bahasa Inggeris walaupun
penguasaan bahasa Inggeris kita tidaklah sebaik mana.

Selain itu, dasar penswastaan yang tidak terhad semakin menyingkirkan kedudukan bahasa
Malaysia sebagai bahasa pengantar di institusi-institusi pengajian tinggi. Pelajar-pelajar di sekolah
menerima pendidikan bahasa Malaysia selama tiga belas tahun. Selepas itu, mereka meninggalkan
bahasa itu selepas tamat persekolahan untuk melanjutkan pelajaran mereka ke kolej swasta yang
menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar dalam pengajiannya.

Dalam usaha memartabatkan bahasa Malaysia, Dewan Bahasa dan Pustaka merupakan badan
utama yang memainkan peranan yang amat penting dalam memartabatkan bahasa Malaysia sebagai
bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi di Malaysia. Melalui peranan dan usaha yang dimainkan oleh
Dewan Bahasa dan Pustaka, bahasa Malaysia telah digunakan dalam pelbagai bidang, termasuklah
undang-undang, kejuruteraan, sains dan teknologi, ekonomi, perbankan, insurans dan sebagainya. Usaha
ini terbukti dengan terbitnya buku-buku pengistilahan dan glosari dalam bahasa Malaysia yang
mencakupi pelbagai bidang tersebut. Sebelum ini, kebanyakan istilah yang digunakan diambil daripada
bahasa Inggeris. Usaha ini merupakan satu kejayaan yang membanggakan. Hal ini sekali gus dapat
membantu program pendidikan di pusat pengajian tinggi.

Di samping itu, seluruh pekerja Dewan Bahasa dan Pustaka mesti menggunakan bahasa
kebangsaan dengan betul dalam semua ucapan rasmi seperti ucapan dalam majlis perasmian, mesyuarat
atau perhimpunan. Dewan Bahasa dan Pustaka hendaklah juga menjadi monitor dan menggerakkan
semua aktiviti pembinaan dan pemantapan bahasa kebangsaan di seluruh negara, contohnya dalam
projek Sukan Komanwel dan Koridor Raya Multimedia. Dalam konteks ini, Dewan Bahasa dan Pustaka
hendaklah sentiasa menasihat, menegur, dan membimbing pemimpin kerajaan, swasta, media cetak,
atau media elektronik supaya menggunakan bahasa Malaysia yang betul dalam semua urusan rasmi.

Selain itu, peranan media massa juga tidak harus diperkecil. Media massa mempunyai
tanggungjawab sosial untuk memartabatkan dan mendaulatkan bahasa Malaysia. Pujian dan sanjungan
haruslah diberikan kepada stesen penyiaran TV3 kerana masih terus menggunakan bahasa Malaysia
dalam kebanyakan siaran. TV3 merupakan stesen penyiaran yang mula-mula menggunakan bahasa baku
walaupun kini tidak lagi dan begitu juga harapan kita kepada RTM. Walaupun pihak RTM telah
memulakan penyebutan baku bagi istilah asing, namun usaha itu masih belum boleh dibanggakan. Oleh
itu, diharapkan kebanjiran stesen-stesen baharu ini dapat bersama-sama memartabatkan bahasa
Malaysia di negara kita.

Di samping itu, mahasiswa institusi pengajian tinggi perlu memainkan peranan yang proaktif
untuk memartabatkan bahasa Malaysia. Hal ini demikian kerana mahasiswa perlu bergerak bersama-
sama bagi mengukuhkan bahasa Malaysia dalam semua bidang ilmu. Menurut Datuk Mahadzir Mohd
Khir, Timbalan Menteri Pelajaran, beliau mengatakan bahawa langkah-langkah yang dijalankan oleh
mahasiswa dengan menganjurkan Minggu Bahasa Malaysia di institusi pengajian tinggi dalam kegiatan
kebahasaan akan menarik minat dan memupuk kecintaan orang ramai terhadap bahasa Malaysia.
Pembabitan mahasiswa yang peka terhadap keperluan dan perubahan semasa selaras dengan peranan
mahasiswa sebagai penggerak pembangunan masyarakat patut diberikan pujian. Minggu Bahasa
Malaysia yang dianjurkan oleh mahasiswa dapat mendaulatkan bahasa ibunda di samping memupuk
kecintaan terhadap bahasa Malaysia dalam kalangan generasi masa ini.

Warga pendidik di negara ini juga turut memainkan peranan yang penting untuk
memartabatkan bahasa Malaysia serta meningkatkan mutu pendidikan bahasa Malaysia. Golongan
pendidik hari ini telah dipertanggungjawabkan melaksanakan konsep bahasa Malaysia dalam kalangan
masyarakat. Peranan pendidik bahasa adalah penting kerana mereka juga bertanggungjawab
membimbing guru mata pelajaran lain. Peranan para pendidik lebih penting dalam memartabatkan
bahasa Malaysia kerana dalam kurikulum pendidikan bahasa, matlamat utama adalah untuk melahirkan
pelajar yang berupaya menggunakan bahasa Malaysia yang baik dan membanggakan. Selain itu, dalam
konteks sikap yang lebih luas, nilai-nilai masyarakat yang positif perlu di¬terapkan melalui pendidikan
bahasa.

Sehubungan dengan itu, peranan sektor swasta dalam memartabatkan bahasa Malaysia
amatlah dialu-alukan. Sektor swasta haruslah peka dan menganjurkan lebih banyak kegiatan bahasa di
luar negara seiring dengan promosi perniagaan atau produk masing-masing. Kegiatan promosi dan
pasaran secara terancang akan memberikan pulangan yang merangsangkan perkembangan bahasa
Malaysia sebagai bahasa ekonomi, sains, dan teknologi. Papan-papan tanda dan iklan yang
mempromosikan sesuatu produk haruslah menggunakan kata-kata bahasa Malaysia yang betul dalam
semua urusan rasmi. Dengan cara ini, kita akan dapat mendaulatkan dan memartabatkan bahasa
Malaysia bukan sahaja di negara kita malah di pentas dunia.

Menurut Timbalan Menteri Pelajaran, orang Malaysia sendiri mesti membetulkan kelakuan,
sikap, tanggapan, dan semangat mereka terhadap bahasa Malaysia. Jika tidak siapakah lagi yang akan
bertanggungjawab memperjuangkan dan mendaulatkan bahasa Malaysia yang menjadi bahasa
kebangsaan? Beliau juga mengesyorkan satu pertemuan raksasa antara orang-orang Malaysia yang
terdiri daripada pemimpin politik, cendekiawan, ahli perniagaan, dan sebagainya perlu diadakan untuk
membincangkan segala masalah yang mengancam bahasa Malaysia hari ini. Sebenarnya, isu bahasa
Malaysia sebagai bahasa kebangsaan samalah seperti nasib sosial dan budaya kebanyakan orang
Malaysia. Oleh hal yang demikian, orang-orang Malaysia haruslah bangun menjadi penegak bahasa
Malaysia; bahasa yang menjadi tonggak bangsa.

Kesimpulannya, daripada perbincangan di atas, langkah-langkah yang konkrit dan pragmatik


perlulah diambil untuk memartabatkan bahasa Malaysia. Hal ini dikatakan demikian kerana bahasa
Malaysia ialah bahasa kebangsaan kita. Hakikat ini perlu disedari dan diakui oleh seluruh rakyat
Malaysia. Kepentingan bahasa ini tidak dapat dipertikaikan lagi, sebaliknya setiap individu haruslah
memanfaatkan masa mereka untuk mempelajari dan menguasai bahasa Malaysia dengan baik. Cara
itulah yang terbaik untuk memartabatkan bahasa Malaysia yang ternyata memberikan faedah yang besar
kepada perpaduan rakyat dan teknologi Malaysia. Jika tidak, generasi yang akan datang akan ketinggalan
dan dijajah oleh kuasa-kuasa Barat yang menggunakan bahasa asing. Sesungguhnya, bahasa jiwa bangsa

Vous aimerez peut-être aussi