Vous êtes sur la page 1sur 5

AWASI EJEN PERISIKAN

Oleh: SHAIFUL BAHRI ASIDIN

KEMANAKAH semangat rela mempertahankan negara daripada


dicerobohi oleh warganegara jiran? Apakah kita rela membiar dan
memerhatikan sahaja pegawai penguat kuasa dibelasah di dalam wilayah
sendiri oleh samseng negara jiran? Apakah sifat kita terlampau hormatkan
`segala benda dari luar negara' sehingga kita boleh diperlakukan apa sahaja
oleh warga asing di dalam negara kita sendiri?

Iktibar penguat kuasa Kerajaan Pusat dibelasah oleh warga asing di


Kompleks Bukit Kayu Hitam pada Disember tahun lalu sesungguhnya
memalukan rakyat negara kita. Itu yang nyata berlaku di depan mata tanpa
berselindung dan perlakuan samseng negara jiran dilakukan secara terbuka
di tempat awam di siang hari.

Sudah menjadi kebiasaan dan kelaziman setiap kali ada peristiwa buruk,
bencana dan insiden yang tidak diingini, episod tuding menuding
menyalahkan orang lain dan lagu Bangau oh Bangau pun berkumandang
semula. Barulah mula mahu memperketatkan sempadan negara.

Agaknya jika tidak berlaku serangan tersebut, sempadan negara kita


amat bebas untuk keIuar masuk oleh warga asing.

Tidak terfikirkah kita bagaimana pengemis dan pelarian Myanmar boleh


bolos sehingga ke Kuala Lumpur tanpa sebarang dokumen yang sah?

Begitu juga pendatang haram dari Bangladesh dan Kemboja. Masakan


mereka masuk dari Singapura?

Selain contoh di Bukit Kayu Hitam yang dianggap `ringan' oleh segelintir
pihak, kita jangan sangkakan tiada anasir dari luar yang ingin membuat
kacau di negara kita.

Mungkin keselesaan kita dan sejarah moden Malaysia yang tidak pernah
sengsara selepas Perang Dunia Kedua, membuatkan kita leka dan lalai
tentang peranan dan tanggungjawab kita dalam aspek pertahanan dan
perisikan negara.

Jika kita seperti rakyat Palestin, Vietnam dan Afghanistan,


setiap rakyat asing yang masuk ke negara mereka akan tetap
disangsi dan dicurigai. Jangan harap rakyat negara berkenaan
dengan mudah boleh berbaikbaik dengan kita sebagai orang asing di
negara mereka.

Keadaan sebaliknya berlaku di negara kita. Mungkin sifat kita yang


terlebih bersopan santun, berbudi bahasa dan lemah lembut telah
mengakibatkan orang asing telah `membaca kelemahan' kita sendiri.

1
Kita kadang kala terlupa atau sengaja tidak menghiraukan peranan ejen
perisikan asing yang menjelma dalam kehidupan seharian kita dengan
pelbagai wajah untuk menjalankan peranan risik mereka di sekeliling kita.

Kebanyakan daripada kita yang menikmati kehidupan yang baik dan


selesa pada masa sekarang sering terlupa mengenai kemungkinan-
kemungkinan yang boleh menghancurkan negara.

Mereka lupa bahawa perisikan mampu memainkan peranan besar


dalam menumbangkan seseorang dan sekali gus meruntuhkan sesebuah
negara.

Perisikan di Asia Tenggara bukanlah satu perkara yang mengejutkan.


Kuasa-kuasa besar akan menjalankan aktiviti perisikan mereka di negara-
negara tertentu bagi memastikan dasar-dasar tertentu memenuhi matlamat
dan ideologi mereka.

Lebih hebat lagi perisikan juga akhirnya boleh membawa kepada


kejatuhan sesebuah negara atau seseorang pemimpin. Sejarah telah
memperlihatkan bagaimana ejen-ejen perisikan dapat memenuhi matlamat
kuasa-kuasa besar ini walaupun kos yang diperlukan amat tinggi.

Sebelum Perang Dunia Kedua, Jepun telah meletakkan perisiknya di


Tanah Melayu yang bekerja dan membuka klinik gigi. Amerika Syarikat telah
menggunakan ejen-ejennya untuk melakukan provokasi sehingga tercetusnya
perang saudara antara Vietnam Utara dan Vietnam Selatan.

Walaupun Amerika gagal dalam misi di Vietnam, namun kesannya


berparut sehingga ke hari ini.

Kejatuhan pemimpin lantang Indonesia, Sukarno dalam tahun 1960-an


merupakan satu kejayaan bagi perisikan asing. Ini diakui oleh ahli sejarah
British, David Easter dalam jurnal Intelligence and National Security.

Sukarno ketika itu dianggap sebagai duri dalam daging kuasa-kuasa


Barat.

Namun kelicikan perisikan dan ditambah peranan media Barat akhirnya


berjaya membohongi rakyat Indonesia untuk menerima hakikat Sukarno akan
tunduk kepada tekanan komunis.

Mereka yang memainkan peranan utama perisikan British ketika itu


sehingga tersungkurnya Sukarno ialah Duta Britain ke Jakarta, Andrew
Gilchrist dan pakar propaganda Pejabat Luar Britain, Norman Reddaway.
Mereka inilah yang menggoncang kestabilan kerajaan Indonesia.

Malaysia juga sebenarnya tidak terlepas daripada intipan ejen


perisikan. Pada awal 1980-an, seorang bekas Setiausaha Politik Perdana
Menteri turut dilatih oleh kuasa luar untuk menjadi ejen perisikan Soviet
Union.

2
Kewujudan Pejabat Kedutaan Israel di Singapura tidak harus dipandang
ringan kerana negara di selatan Semenanjung ini adalah satu-satunya negara
di Asia Tenggara yang mempunyai hubungan diplomatik secara langsung
dengan negara Yahudi itu. Tidak mustahil ejen-ejen perisikan Israel
menjalankan intipan terhadap negara kita.

Menyusup

Perisikan alafbaru kini lebih mirip kepada risikan dan rahsia kerajaan
yang melibatkan propaganda dan gerak saraf ideologi. Ejen-ejen perisikan
akan menyusup masuk ke sektor ekonomi, pentadbiran, sistem pertahanan
negara, malah akan cuba berbaik-baik dengan pemimpin parti politik dan
pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Mereka akan mengeluarkan bantuan kewangan, peralatan komunikasi


yang canggih, alat pengintipan yang serba moden, senjata dan latihan sama
ada kepada individu atau kumpulan tertentu.

Bagi mereka, sesiapa sahaja yang dilihat boleh membantu mencapai


matlamat risikan, akan menjadi sasaran.

Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) telah memperlihatkan begitu


banyak pembinaan bangunan strategik dan berfungsi keselamatan negara
akan dibina. Antaranya berpuluh balai polis, ibu pejabat polis daerah, kem
tentera, pangkalan polis marin, bangunan pejabat kerajaan dan infrastruktur
yang bertahap keselamatan tinggi seperti Jambatan Kedua Pulau Pinang.

Kenyataan Menteri Sumber Manusia bahawa negara kita akan dibanjiri


oleh lima juta pekerja asing menjelang 2010 seharusnya dipandang serius
dan dikaji semula. Sektor guna tenaga dan sumber manusia perlu
memikirkan sesuatu agar tawaran pekerjaan kepada pekerja asing tidak men-
cecah sebegitu besar.

Kerajaan perlu berhati-hati dalam memilih kontraktor pembinaan dan


perlu juga mencampuri urusan pengambilan buruh asing oleh kontraktor
terbabit agar tidak terdapat ejen perisikan asing yang menyamar sebagai
buruh binaan.

Mungkin kerajaan boleh mengambil modul dan prosedur saringan dan


semakan seperti yang dilakukan oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM)
semasa pembinaan Kem Tuanku Sirajuddin di Gemas.

Siasatan latar belakang pekerja dan tahap keselamatan dalaman yang


tinggi semasa kerja-kerja pembinaan sedang dijalankan begitu terperinci dan
teliti sekali semata-mata untuk mengelak dan memastikan selok-belok
tempat strategik pertahanan negara tidak diceroboh oleh pihak asing.

Malah kerajaan sebelum ini pernah mengarahkan Jabatan Imigresen


menyiasat latar belakang pekerja asing yang berkhidmat dengan pemimpin

3
negara dan pegawai tinggi kerajaan bagi memastikan mereka bukan ejen-
ejen perisik luar negara.

Walaupun arahan ini telah lama dikeluarkan, kita berharap Jabatan


Imigresen dapat meneruskan peranan ini.

Kerajaan juga harus mengambil langkah berhati-hati dalam memberi


visa dan permit kerja kepada warga asing dalam bidang-bidang tertentu.

Dalam era teknologi canggih ini, risikan boleh dilakukan dengan


berbagai cara dan maklumat boleh disampaikan dengan begitu pantas sekali.

Komunikasi tanpa sempadan dan capaian Internet berkelajuan tinggi


akan membolehkan maklumat risikan sampai ke kuasa luar dengan begitu
cepat sekali.

Ini belum lagi penggunaan teknologi satelit dan sistem informasi


geografi (GIS) yang semakin hari semakin canggih dan terkini teknologinya.
Perlu diingat 80 peratus satelit di ruang angkasa bumi adalah satelit yang
berfungsi pengintipan yang dimiliki oleh kuasa-kuasa besar.

Melumpuhkan

Sektor ekonomi juga tidak boleh lari daripada menjadi intipan ejen
perisikan. Pengambilan tenaga profesional negara asing dalam syarikat-
syarikat besar tempatan yang mempunyai kuasa penentu jatuh bangun
ekonomi negara perlu juga dipantau. Tidak mustahil mereka berperanan
sebagai pemberi maklumat yang berharga kepada musuh dengan tujuan
untuk melumpuhkan ekonomi negara.

Kita harus berwaspada dengan peranan ejen perisikan ini kerana


mereka bersedia melakukan apa sahaja untuk mengintip dan menyusup
rahsia.

Mereka akan menyamar, mengupah ejen tempatan, membuat rakaman


dan penyalinan dokumen rahsia sama ada menggunakan telefon, kamera,
menceroboh sistem komputer kerajaan dan rakam bual pihak tertentu
dengan tujuan untuk mengintip.

Hasil risikan pekerja asing di abad ke-21 ini bukan bermakna ada niat
negara asing untuk menakluk negara kita dengan kuasa ketenteraan dan
peperangan.

Serangan mereka adalah melalui serangan mentaliti, merubah sikap,


gaya hidup dan menipiskan pegangan agama rakyat kita. Itulah bakal
serangan alaf baru yang akan menimpa negara jika kita sendiri lalai dan tidak
sensitif untuk mempertahankan negara dari diceroboh.

Mungkin kesan jangka pendek tidak kita rasai sekarang. Akan tetapi jika
ini berlarutan, apa akan terjadi kepada anak cucu kita nanti? Adakah kita

4
pernah fikirkan berapa lama kemerdekaan kita boleh bertahan? Kita jangan
bongkak untuk memperkatakan mana mungkin kita yang sudah merdeka
boleh dijajah semula?

Lihatlah negara-negara yang lebih awal merdeka daripada kita seperti


Iraq, Afghanistan dan Lebanon, apa sudah jadi dengan negara mereka
sekarang?

Hanya semangat cintakan negara mampu menghalang kemaraan ejen-


ejen perisikan ini yang berada di sekeliling kita. Sikap kitalah yang akan
menentukan sejauh mana kejayaan ejen-ejen perisik asing ini.

Utusan Malaysia, Jumaat 19 Oktober 2007

Vous aimerez peut-être aussi