Vous êtes sur la page 1sur 3

AL-QURAN adalah kata-kata Allah yang suci.

Setiap huruf dan kalimatnya memiliki hikmah


dan makna yang tidak mungkin ditiru oleh jin dan manusia. Hal ini dirakamkan dalam firman
Allah bermaksud: ?Katakanlah, apabila berhimpun seluruh jin dan manusia untuk membuat
kitab seumpama al-Quran, maka mereka tidak akan mampu. Walaupun sebahagian mereka
menolong yang lainnya.? ? (Surah al-Isra?, ayat 88).

Jangankan membuat kitab seperti al-Quran, manusia sebenarnya juga tidak mempunyai
kesanggupan untuk meniru atau mencipta satu surah pun daripada al-Quran. Inilah yang
dikatakan Allah dalam firman-Nya bermaksud: ?Jika kamu ragu terhadap apa yang kami
turunkan kepada (Nabi) Muhammad saw, maka cuba kamu buat satu surah seumpamanya.
Lalu kamu carilah saksi selain Allah jika kamu orang yang benar. Kamu tidak mampu dan
tidak akan mampu untuk membuat satu surah pun seumpamanya.? ? (Surah al-Baqarah,
ayat 23 dan 24).

Inilah yang dikatakan i?jaz atau keajaiban al-Quran yang menjadi mukjizat terbesar diberikan
Allah kepada rasul-Nya, Muhammad sebagai pedoman hidup untuk manusia dalam mencapai
kebahagiaan di dunia dan akhirat.

Oleh kerana al-Quran adalah kata-kata Allah, ia wajib dibaca dengan betul mengikut makhraj
dan tajwidnya.

Di samping itu, al-Quran mesti dibaca dengan meresapi satu demi satu keistimewaan kalimat
demi kalimatnya. Maka adalah sesuatu yang wajar apabila Rasulullah bersabda
bermaksud: ?Apabila kamu membaca al-Quran cubalah menangis.? Menangis dalam hadis
ini bermakna menghayatinya sehingga kita benar-benar merasakan ketika membaca al-
Quran itu seakan-akan Allah yang sedang berbicara di hadapan kita.

Perkara ini yang dikatakan Baginda dalam hadisnya yang lain: ?Apabila umatku solat, maka
dia sedang bertemu dengan Tuhan-Nya. Apabila mereka membaca al-Quran, maka
Tuhannya sedang berbicara di hadapannya.?

Orang yang dapat menghayati bacaan al-Quran, akan merasakan seolah-olah al-Quran itu
ditujukan kepadanya. Apabila dia sedang membaca ayat mengenai azab, dia seakan-akan
membayangkan kalau azab Tuhan itu sedang berada di depan matanya. Apabila sedang
membaca ayat mengenai syurga, maka seakan-akan syurga itu juga berada di hadapannya.

Apabila ayat itu berbicara berkenaan dengan masalah solat, zakat, puasa, haji, jihad dan
perintah lainnya, maka seakan-akan Allah sendiri yang sedang memerintahkan itu
kepadanya.

Begitu pula jika ayat itu menegah daripada perbuatan keji dan mungkar seperti riba, zina,
melarang arak dan judi. Maka, dia merasakan bahawa seakan-akan Allah sedang berada di
hadapannya menegahnya daripada semua perbuatan maksiat itu.

Inilah makna menghayati bacaan itu, yang mana seseorang seakan-akan merasakan al-
Quran itu bukan lagi susunan huruf demi huruf, kalimah demi kalimah, tetapi suara Allah yang
langsung datang memasuki sanubarinya.
Apabila sampai kepada peringkat ini, maka akan terasa keindahan dan keajaiban al-Quran
itu. Oleh itu, dengan membacanya, peribadi yang keras akan menjadi lembut. Orang yang
takut akan menjadi berani. Manusia yang lemah akan menjadi kuat. Maka, wajar apabila
pejuang Islam dulu menjadikan al-Quran sebagai api pembakar semangat perjuangan
mereka.

Keajaiban al-Quran juga dapat dilihat dalam sejarah Umar bin Khattab memeluk Islam.
Sebelum Islam, Umar ialah seorang lelaki bengis, kasar dan kejam. Dia pernah berniat untuk
membunuh Nabi Muhammad dengan tangannya sendiri.

Dalam sejarah dikisahkan bahawa pada suatu hari Umar menaiki kudanya ingin mencari
Baginda untuk membunuhnya. Pada pertengahan perjalanan, dia bertemu seorang sahabat
yang menyembunyikan keimanannya.

Sahabat tadi bertanya: ?Hendak ke manakah engkau wahai Umar??

Dengan sinis Umar menjawab: ?Saya hendak mencari Muhammad yang membawa ajaran
sesat dan ingin merosakkan kepercayaan nenek moyang kita. Dia telah merobohkan
perpaduan di kalangan suku Quraisy. Saya ingin membunuhnya.?

Sahabat tadi terkejut. Namun, dengan tenang dia berkata: ?Wahai Umar, bagaimana engkau
akan membunuh Muhammad, sementara adikmu, Fatimah dan iparmu, Sa?id bin Zaid telah
menjadi pengikutnya.?

Wajah Umar merah membara. Dia terkejut kerana ajaran Muhammad yang dibencinya
ternyata telah memasuki rumahnya sendiri.

Dengan tidak membuang masa, dialihkannya perjalanannya daripada mencari Muhammad


kepada menemui adik kandungnya, Fatimah.

Setibanya di rumah Fatimah, Khabbab bin al-Arat sedang mengajarkan Fatimah dan
suaminya Sa?id membaca al-Quran. Mereka sedang membaca beberapa ayat dalam Surah
Taha.

Dari luar, Umar mendengar bacaan ayat itu. Dia mendengar dengan tenang, tekun dan
saksama. Pada saat itu, dia seakan-akan berada dalam pusaran badai yang dahsyat,
gulungan ombak kuat.

Umar seorang manusia keras hati dan cerdas. Dia dapat menghayati dan merenungi bacaan
itu.

Setelah mendengar ayat demi ayat yang dibaca itu, Umar berkeyakinan bahawa apa yang
didengarnya itu bukan syair Arab. Kata-katanya sangat indah, yang tiada tolak bandingnya.

Bacaan al-Quran itu, seakan-akan mencairkan bungkahan ais kekafiran dalam jiwa Umar dan
menggantikannya dengan cahaya keislaman. Pada hari itu juga, Umar memeluk agama
Islam.
Demikian besarnya pengaruh mendengar bacaan al-Quran sehingga dapat mengubah
peribadi Umar, daripada seorang yang kafir kepada insan yang beriman kepada Allah.

Sungguh benar apa yang dijanjikan Allah, bahawa orang yang mendengar bacaan al-Quran
dengan khusyuk dan menghayati setiap bacaan itu pasti akan mendapat rahmat. Perkara ini
seperti dijanjikan Allah dalam firman-Nya bermaksud: ?Apabila sedang dibacakan al-Quran,
maka dengar dan diamlah, agar kamu mendapat rahmat.? ? (Surah al-A?raf, ayat 204).

Rahmat dalam ayat ini memiliki makna yang banyak. Adakalanya setiap ayat yang dibaca itu
akan menyejukkan hati dan menambah keimanan. Hal itu dirakamkan dalam firman Allah
bermaksud: ?Sesungguhnya orang yang beriman itu, apabila disebutkan nama Allah, akan
bergetar hati mereka. Apabila dibacakan ayat-ayatnya (al-Quran), maka akan bertambah
keimanannya.? ? (Surah al-Anfal, ayat 2).

Al-Quran juga berfungsi sebagai ubat yang menyembuhkan segala penyakit jiwa manusia.
Perkara ini dijanjikan Allah, seperti firman-Nya bermaksud: ?Dan Kami turunkan al-Quran itu
sebagai ubat yang menyembuhkan dan rahmat bagi orang yang beriman.? ? (Surah al-Isra?,
ayat 82).

Al-Quran juga mampu memberi inspirasi kepada sesiapa pun tanpa mengira latar belakang
dan peringkat umur. Al-Quran dapat dihayati oleh pakar sastera kerana di dalamnya banyak
unsur sastera.

Al-Quran sesuai dibaca oleh pakar ilmu pengetahuan, sebab kitab suci ini banyak
menceritakan dasar seluruh ilmu pengetahuan. Orang dewasa dapat merasakan kenikmatan
membaca al-Quran berdasarkan pemahaman orang dewasa. Anak-anak juga dapat meresapi
bacaan al-Quran berdasarkan keterbatasan akal mereka.

Perkara ini tentu berbeza dengan buku ciptaan manusia. Buku yang digunakan di universiti
tidak akan dibaca anak-anak sekolah rendah. Buku fizik dan kimia tidak akan dibaca pelajar
sastera. Buku perubatan jarang dibaca pengkaji undang-undang kerana mereka tidak
memahaminya.

Namun al-Quran dapat diterima semua golongan, peringkat umur dan manusia. Perkara ini
disebabkan al-Quran adalah perkataan Tuhan, pencipta semua manusia.