Vous êtes sur la page 1sur 16

HUBUNGAN BUDAYA DAN IKLIM SEKOLAH DENGAN DISIPLIN PELAJAR KOLEJ VOKASIONAL DI NEGERI PERAK

Disediakan Oleh:
ZULHAIDI ALIFITRI BIN ZAKARIA M20131001069

Latar Belakang Kajian


Sekolah merupakan sebuah institusi formal untuk mendidik kanak-kanak dan remaja menghadapi alam dewasa dan seterusnya menjadi insan yang berguna di hari muka. Seseorang kanak-kanak akan menempuhi alam persekolahan sekurang-kurangnya sebelas tahun iaitu di peringkat prasekolah, sekolah rendah dan sekolah menengah. Mereka juga akan menghabiskan sekurang-kurangnya enam jam atau lebih di sekolah setiap hari persekolahan tidak termasuk aktiviti kokurikulum dan kelas-kelas tambahan. Jadi, tidak hairanlah jika dikatakan sekolah sebagai agen sosialisasi kerana sebahagian daripada usia seseorang itu akan dihabiskan di sekolah. Dalam hal ini, suasana dan persekitaran sekolah atau lebih dikenali sebagai budaya dan iklim sekolah memainkan peranan penting dalam pembentukan sahsiah seseorang. Sedar tentang kepentingan memperkenalkan budaya yang baik di sekolah, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) merangka pelbagai program bagi merealisasikan hasrat ini, contohnya Program Nadi Ilmu Amalan Membaca (NILAM) iaitu satu program galakan membaca yang sistematik dan berterusan sepanjang tahun bagi mencapai objektif melahirkan golongan 'avid reader' iaitu pembaca tegar yang menjadikan tabiat membaca sebagai satu budaya yang berkekalan dalam diri mereka, Disamping itu, program anjuran Kementerian Pelajaran Malaysia sejak tahun 1998 ini bertujuan menggalakkan sekolah menjana idea kreatif dan inovatif bagi menyemai budaya membaca (Bahagian Teknologi Pendidikan,Kementerian Pelajaran Malaysia, 1998).

Menurut Deal dan Peterson (1999) budaya budaya ialah entiti keseluruhan yang kompleks. Ia merangkumi aspek-aspek seperti pengetahuan, kepercayaan, kesenian, moral, undang-undang, norma, adat resam dan kemahiran-kemahiran lain serta kebiasaan yang diwarisi ataupun diperoleh dan dipraktik oleh manusia sebagai anggota masyrakat. Budaya juga ialah hasil nilai, kepercayaan, keutamaan harapan dan norma yang sama-sama dimiliki serta bertindak menyampaikan cara organisasi itu memperlihatkan manifestasinya kepada dunia (John, 2010).
Budaya sekolah pula ditakrifkan sebagai sistem sosial yang mempunyai budaya yang tersendiri, iaitu terdiri dari norma institusi, struktur sosial, kepercayaan, nilai, simbol, matlamat dan tujuan yang tersendiri Banks dan Banks(1993). Deal dan Peterson (1998) pula mengutarakan budaya sekolah sebagai set norma dan nilai, ritual dan tradisi, adat istiadat dan cerita yang terbentuk menerusi jangka panjang yang membolehkan warganya bekerja dan belajar bersama. Sekolah-sekolah di Malaysia mempunyai persamaan daripada segi, kurikulum, bentuk bangunan, kelayakan guru, dan prasarana. Namun yang membezakan sekolah ialah unsur budaya sekolah dan unsur inilah yang dikatakan penentu pada keberkesanan sekolah (Bolman & Deal, 1991). Budaya sekolah merupakan sebahagian budaya masyarakat kerana sekolah itu lahir daripada keperluan masyarakat.Semua pelajar sekolah terus didedahkan kepada norma, nilai, simbol dan bahasa yang akan mencorak masa depan mereka. Budaya sekolah ialah budaya yang dihasilkan oleh sebahagian pelajar dan sebahagian lagi oleh golongan tertentu supaya aktiviti pelajar dapat dikawal (Razak 2011). Menurutnya lagi, Di dalam budaya sekolah ini, terkandungnya corak idea, norma, pemikiran, dan nilai-nilai yang menyumbang kepada pembentukan kelakuan individu.

Budaya sekolah dan iklim sekolah adalah dua bentuk yang saling berkaitan. Namun begitu, iklim sekolah lebih merujuk kepada kesan persekitaran sekolah ke atas pelajar. Keadaan atau suasana sekolah yang tenang dan nyaman, sesuai untuk proses pengajaran dan pembelajaran dianggap sebagai mempunyai iklim sekolah yang berkesan. Selain itu, Iklim Sekolah ialah sifat dan suasana yang ada di sekolah yang membezakannya dengan sekolah yang lain. Sifat dan suasana yang ada di sekolah ini adalah hasil interaksi antara guru dan pelajar serta masyarakat yang terdapat di dalam sekolah tersebut secara keseluruhannya. Halpin dan Croft (1963) yang merupakan perintis dalam kajian iklim sekolah mengatakan bahawa iklim sekolah menggambarkan personality seseorang individu sendiri dan bagaimana guru tersebut berusaha untuk mencapai tahap organisasi iklim sekolah berkenaan. Seterusnya, Howard (1974) mendefinisikan iklim sekolah sebagai keadaan sosial dan budaya sekolah itu yang mempengaruhi tingkah laku orang di dalamnya. Pusat Perkembangan Kurikulum (1981) mendefinisikan iklim sekolah sebagai suasana sekolah yang baik di mana keadaan persekitarannya dirasakan selesa, tenteram, mesra, riang dengan pembelajaran yang lancar. Mengikut Moss(1979), beliau mendefinisikan bahawa Iklim Sekolah sebagai suatu sistem sosial yang membentuk persekitaran pembelajaran. Fenomena ini berlaku adalah kerana pelajar dari pelbagai latar dan pengalaman yang berbeza berada di dalam satu kumpulan di mana tingkah lakunya banyak bergantung kepada bentuk protokol yang diwujudkan oleh pentadbir dan guruguru. Ringkasnya iklim sekolah adalah suasana yang menggambarkan sekolah yang teratur, terkawal, tenang, dan tertib yang memungkinkan atau menyediakan satu suasana yang kondusif kepada proses pengajaran dan pembelajaran berkesan dan positif dan bukan suasana yang sebaliknya seperti riuh-rendah ikut suka, kelam-kabut, hingar-bingar dan seumpamanya. Pada kebiasaanya, sebuah sekolah yang iklimnya dianggap positif mempunyai ciri-ciri fizikal sekolah yang bersih dan menarik, hubungan sosial yang baik antara semua warga sekolah serta suasana kerja yang produktif. Manakala iklim negatif atau tertutup lazimnya mempunyai keadaan sekolah yang kucar-kacir, kurang selamat, tidak tenteram dan teratur, malah sering menghadapi konflik dan masalah disiplin (Mok Soon Sang, 2003).

Mengikut Pelan Pembaguna Pendidikan (PPPM) 2013-2025, kerjaan serius dalam mewujudkan iklim yang lebih baik di sekolah dengan penglibatan secara aktif ibu bapa dan masyarakat dalam pendidikan tanpa mengharapkan guru semata-mata. Menurut Tumin (2013), Setiap ibu bapa diminta meluangkan masa untuk membantu sekolah seperti terkandung dalam Sarana Ibu Bapa merangkumi sumbangan idea, tenaga, pengetahuan, kepakaran dan kewangan. Tambahnya lagi, sejajar dengan peningkatan akademik ibu bapa, tanggungjawab mendidik anak bukan lagi tanggungjawab guru sepenuhnya, tetapi turut membabitkan ibu bapa dan komuniti setempat termasuk syarikat swasta dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan organisasi bukan kerajaan (NGO).

Budaya sekolah yang baik serta suasana persekitaran yang bersih, ceria dan kondusif diharapkan dapat menyumbang kepada penurunan kadar masalah disiplin di sekolah. Pada masa ini, masalah disiplin di sekolah berada pada tahap yang membimbangkan. Sebagai contoh, seorang pelajar tingkatan 4 Maktab Rendah Sains Mara dipukul kira-kira 25 orang pelajar asrama akibat menyerahkan senarai nama pelajar yang merokok kepada pihak sekolah (Utusan Malaysia, 2013). Juga dalam Utusan Malaysia (2013), 4 orang pelajar berusia antara 11-14 tahun ditahan atas kesalahan memecah masuk pejabat sekolah untuk mengambil semula barangan rampasan guru disiplin.
Maksud disiplin adalah berasal dari perkataan disciple yang mebawa maksud untuk membimbing dan mengajar dan secara keseluruhannya didefinasikan sebagai membantu pelajar untuk belajar erti tanggungjawab di atas perlakuan mereka serta dapat membezakan antara yang baik dan buruk (Field, Perry & Field, 2010). Dewan Bahasa dan Pustaka (2002), mentakrifkan disiplin sebagai latihan terutamanya pemikiran dan kelakuan supaya boleh mengawal diri sendiri mengikut peraturan yang ditetapkan dan sekiranya ini berlaku sebaliknya hukuman atau denda akan dikenakan. Selain itu, disiplin didefinasikan sebagai kepatuhan untuk menghormati dan melaksanakan sesuatu system yang menharuskan seseorang itu tunduk kepada keputusan (Utusan Publication, 1995)

Kes disiplin mengikut takrifan Kementerian Pelajaran itu ialah jenayah, kelucahan, kurang sopan, kekemasan diri, ponteng sekolah, kenakalan dan tidak pentingkan masa dan didapati sebanyak 1.27 peratus daripada kira-kira 5.4 juta pelajar sekolah di negara ini terbabit dalam kes disiplin (Lee, 2010). Mengikut Sarday (2013), sepanjang tempoh tujuh bulan tahun ini, seramai 15,710 pelajar di negeri Johor dikesan terlibat dalam pelbagai kesalahan disiplin melalui Sistem Salahlaku Disiplin Murid (SSDM). Antara kesalahan disiplin yang dikenal pasti termasuk tingkah laku jenayah, penyalahgunaan dadah, buli, merokok dan ponteng sekolah. Selain itu, turut dikesan ialah berkelakuan lucah, tingkah laku biadap, vandalisme, tingkah laku nakal, tidak pentingkan masa, tidak menjaga kekemasan diri dan penglibatan dalam politik.

Bagi Kolej Vokasional atau dulunya dikenali sebagai Sekolah Menengah Vokasional, kes-kes disiplin dilihat saban hari semakin membimbangkan. Ini dapat dilihat daripada analisa kes yang dikeluarkan oleh Bahagian Pendidikan Teknik dan Vokasional (BPTV) sebagai contoh seawal bulan Januari iaitu pada 7 Januari 2013, tujuh orang pelajar senoir memukul seorang pelajar junior di KV Taiping, rusuhan pelajar sehingga merosakkan kediaman dan kenderaan warden pada 27 Februari 2013 di KV Seri Iskandar, kes ceroboh asrama perempuan di KV Juaseh pada 12/3/2013 dan pada 23/4/2013, berlaku kes homoseksual di KV Shah Alam (BPTV,2013).
Banyak kajian telah dilakukan untuk mengenal pasti punca meningkatnya kes-kes disiplin di sekolah termasuklah kajian tentang faktor budaya dan iklim sekolah. Jadi kajian ini akan memfokuskan mengenai budaya dan iklim Kolej Vokasional dan bagaimana ia mempengaruhi tahap disiplin pelajar di kolej tersebut. Kajian ini diharap dapat membantu BPTV untuk mengenal pasti punca masalah disiplin dan seterusnya mencari jalan penyelesaian terutama sekali dalam penerapan budaya dan penambahbaikan iklim di Kolej Vokasional.

Penyataan Masalah
Kolej Vokasional Kementerian Pendidikan Malaysia telah melalui beberapa evolusi perubahan selaras dengan Dasar Pendidikan Negara. Sejarahnya bermula dengan penubuhan Government Trade School oleh kerajaan British pada tahun 1930 bagi melatih tenaga kerja Keretapi Tanah Melayu. Pada Tahun 1968, Government Trade School mengalami fasa perubahan dari segi nama dan fungsi melalui pengenalan kepada Sekolah Menengan Vokasional dengan objektif memberi latihan vokasional kepada pelajar-pelajar yang mendapat pengkat S dalam Sijil Rendah Pelajaran bagi mengurangkan keciciran pelajar pada peringkat menengah. Dengan pengenalan Tranformasi Pendidikan Vokasional pada 6 Januari 2012 oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, maka semua Sekolah Menengah Vokasional dinaik taraf menjadi Kolej Vokasional KPM. Objektif penubuhan Kolej Vokasional adalah bagi melahirkan tenaga kerja mahir atau separa mahir dalam bidang kejuruteraan atau bukan kejuruteraan untuk memenuhi tuntutan industri masa kini. Kolej Vokasional memberi peluang kepada pelajar untuk memperoleh diploma dalam bidang kemahiran bagi tempoh 4 tahun pengajian. Bagi negeri Perak pada masa sekarang terdapat 8 buah Kolej Vokasional dengan Kolej Vokasional Seri Manjung bertindak sebagai perintis diikuti oleh Kolej Vokasional Lebuh Cator, Kolej Vokasional Seri Iskandar, Kolej Vokasional Teluk Intan, Kolej Vokasional Slim River, Kolej Vokasional Kuala Kangsar, Kolej Vokasional Taiping dan Kolej Vokasional Taiping. Sekolah Menengnah Vokasional Ipoh dan Sekolah Menengah Teknik Grik akan dinaik taraf pada tahun hadapan menjadikan 10 buah Kolej Vokasional di negeri Perak.

Kolej-kolej Vokasional berpegang kepada prinsip PRIME sebagai budaya kerja organisasi iaitu P Performance Mempertingkatkan pencapaian dan prestasi pelajar voctech dalam bidang kurikulum dan kokurikulum ke tahap yang lebih seimbang dan cemerlang. R Respectability Melahirkan pelajar voctech yang aktif dan berpandangan positif terhadap pendidikan voctech supaya institusi voctech diberi pengiktirafan sewajarnya. I Image Meningkatkan imej dan usaha institusi voctech dimata masyarakat dengan mendidik pelajar berdisplin, berakhlak mulia dan berhemah tinggi berlandaskan kepercayaan dan ketaatan kepada Maha Pencipta. M Manpower Membantu melahirkan tenaga kerja yang mahir, boleh berdikari serta mempunyai etika dan sikap kerja yang baik. E Expectation Memenuhi aspirasi dan hasrat masyarakat, bangsa dan Negara ke arah melahirkan generasi insan yang produktif dan bersepadu. (Sumber BPTV). Selain itu, semua Kolej-Kolej Vokasional diwajibkan untuk mendapatkan pensijilan 5S iaitu seiri(sisih), seiso(sapu), seiton (susun), seiketsu(seragam) dan shitsuke(sentiasa amal) dalam membentuk budaya kerja yang lebih sistematik, tersusun dan membentuk iklim sekolah yang kondusif untuk pengajaran dan pembelajaran. Program 5S mampu mendidik budaya kerja bertanggungjawab dalam kalangan warga sekolah, memberi kesan yang amat positif terhadap sistem pengurusan dan proses pembelajaran serta membawa perubahan besar dari pelbagai aspek yang mana telah memberikan satu persekitaran yang lebih menarik, selamat dan berkualiti (Mohd Salleh, 2012)

Usaha yang dilakukan oleh BPTV sejajar dengan kepentingan aspek budaya dan iklim sekolah dalam mengatasi masalah disiplin. Mengikut kajian yang dijalankan mengenai faktor yang mempengaruhi perlakuan agresif di sekolah oleh Yahaya, Boon, Ramli, Hashim dan Idris (2010), mendapati bahawa faktor suasana sekolah paling dominan dalam menjurus kepada tingkah laku agresif pelajar. Didapati 76.5 % pelajar tidak suka atau tidak selesa dengan suasana sekolah. Pelajar jaga bersetuju sekolah sentiasa aktif dengan pelbagai program untuk menjana pelbagai pengetahuan dan pengalaman dari aspek kurikulum dan kokurikulum kepada pelajar (85.8%). Persoalannya, sejauh mana usaha yang dilakukan oleh pihak BPTV berjaya membantu mengurangkan masalah disiplin di sekolah? Apakah pandangan pelajar Kolej Vokasional mengenai kepentingan budaya dan iklim sekolah yang baik terhadap tingkah laku mereka? Dan, sejauh mana budaya dan iklim sekolah, membantu dalam mengurangkan masalah disiplin di sekolah-sekolah amnya dan Kolej Vokasional di negeri Perak khasnya.

Persoalan Kajian
Berikut adalah beberapa persoalan di dalam melaksanakan kajian ini. ( i ) Apakah kefahaman pelajar tentang budaya sekolah? ( ii ) Apakah kefahaman pelajar tentang iklim sekolah? ( iii ) Sejauh mana pelajar peka tentang kepentingan budaya dan iklim sekolah terhadap mereka? ( iv ) Apakah faktor-faktor dalaman yang mendorong kepada masalah disiplin di Kolej Vokasional? ( v ) Sejauh mana budaya sekolah yang baik membantu mengurangkan masalah disiplin di sekolah ( vi ) Sejauh mana iklim sekolah yang baik membantu mengurangkan masalah disiplin di sekolah?

Objektif Kajian

Objektif Umum Secara umumnya kajian ini bertujuan untuk mengetahui pemahaman pelajar tentang budaya dan iklim sekolah dan masalah-masalah disiplin yang berlaku di Kolej Vokasional Negeri Perak. Selain itu, kajian ini juga ingin mengenalpasti sama ada budaya dan iklim sekolah mempengaruhi tingkah laku pelajar terutama sekali permasalahan disiplin.
Objektif Khusus Secara khususnya objektif kajian ini adalah bertujuan mengenalpasti:

( i )Tahap kefahaman pelajar tentang budaya dan iklim sekolah. ( ii )Pelajar-pelajar peka tentang peri pentingnya budaya dan iklim sekolah yang baik terhadap mereka.

( iii ) Mengetahui faktor-faktor dalaman yang mendorong kepada salah laku pelajar Kolej Vokasional.
( iv ) Mengetahui sejauh mana budaya dan iklim sekolah mempengaruhi masalahmasalah disiplin di Kolej Vokasional.

Kepentingan Kajian
Masalah disiplin di sekolah merupakan fenomena yang tidak asing lagi kepada kita dan ia merebak sehingga berlakunya perlakuan jenayah di sekolah. Oleh itu, kajian dijalankan untuk mengetahui faktor-faktor yang menyumbang kepada terjadinya gejala ini serta langkah-langkah yang perlu diambil bagi mengatasinya. Kajian memfokuskan kepada dua faktor iaitu budaya sekolah dan iklim sekolah sebagai teras untuk melihat sejauh mana unsur tersebut berkait rapat dengan masalah disiplin. Hasil kajian ini secara umumnya dapat mengenalpasti sama ada masalah disiplin yang berlaku di sekolah adalah berkaitan dengan budaya yang diterapkan dan iklim persekitaran sama ada fizikal mahupun sosial di Kolej Vokasional. Lantaran itu, sekiranya faktor budaya dan iklim terbukti penting dalam mengurangkan masalah disiplin maka usaha yang lebih gigih dan berterusan perlu dalam memstikan lebih banyak budaya positif diterapkan di Kolej Vokasional dan lebih banyak program direncanakan dalam mewujudkan iklim sekolah yang lebih kondusif.

Maklumat kajian ini boleh dijadikan asas dan panduan dalam melaksanakan lebih banyak kajian mengenai perkaitan antara budaya dan iklim sekolah dengan masalah disiplin yang berlaku . Dengan itu, lebih banyak data dapat diperoleh dalam usaha untuk mengurangkan masalah disiplin yang semakin menular di kalangan pelajar. Ini dapat membantu sekolah-sekolah dalam melahirkan pelajar yang cemerlang bukan sahaja dari segi akademik malah sahsiah. Secara keseluruhannya, hasil maklumat kajian ini sangat penting kepada pihak Bahagian Pendidikan Teknik dan Vokasional iaitu sebagai pengurusan tertinggi yang mentadbir semua Kolej-Kolej Vokasional di Malaysia untuk mengambil langkah proaktif dalam memperkenalkan dasardasar serta program-program untuk digunapakai di semua Kolej Vokasional dalam mewujudkan persekitaran, suasana dan budaya yang bukan sahaja menyumbang kepada penurunan masalah disiplin di Kolej Vokasional malah meningkatkan motivasi pelajar seterusnya cemerlang dalam bidang akademik dan kokurikulum.

Definisi Konsep Dan Operational


Kesan (kata nama) bersinonim dengan akibat: hasil, padah, ekoran, kebaikan, keburukan, efek. Juga bersinonim dengan pengaruh: akibat, ekoran, risiko. Budaya - ialah hasil nilai, kepercayaan, keutamaan harapan dan norma yang samasama dimiliki serta bertindak menyampaikan cara organisasi itu memperlihatkan manifestasinya kepada dunia (John, 2010). Iklim (kata nama) - bersinonim dengan cuaca, hawa, suhu. Secara konteks kiasannya bersinonim dengan suasana, keadaan. Disiplin - sebagai latihan terutamanya pemikiran dan kelakuan supaya boleh mengawal diri sendiri mengikut peraturan yang ditetapkan dan sekiranya ini berlaku sebaliknya hukuman atau denda akan dikenakan Kolej Vokasional dulu dikenali sebagai Sekolah Menengah Vokasional bertujuan bagi melahirkan tenaga kerja mahir atau separa mahir dalam bidang kejuruteraan atau bukan kejuruteraan untuk memenuhi tuntutan industri masa kini. Kolej Vokasional memberi peluang kepada pelajar untuk memperoleh diploma dalam bidang kemahiran bagi tempoh 4 tahun pengajian.

Limitasi Kajian
Kajian ini hanya menggunakan kaedah tinjauan dan dilakukan hanya di Kolej Vokasional negeri perak melibatkan kira-kira 400 respondent. Tinjauan pula hanya dilakukan kepada pelajar sahaja tanpa melibatkan pentadbir sekolah, guru-guru dan ibu bapa. Kajian juga hanya menumpukan kepada faktor dalaman iaitu budaya dan iklim sekolah tanpa melibatkan faktor-faktor lain yang menyumbang kepada gejala disiplin pelajar. Akhir sekali, kajian tidak mengambil kira demografi murid dari segi jantina dan umur pelajar.

Hipotesis Kajian
Hipotesis yang dibentuk dalam kajian ini ialah: Ho1: Tidak terdapat perbezaan signifikan pengaruh budaya dan iklim sekolah terhadap masalah disiplin yang berlaku di sekolah Ho2: Tidak terdapat perbezaan yang signifikan pengetahuan pelajar mengenai budaya dan iklim sekolah dengan masalah disiplin yang berlaku Ho3: Tidak terdapat perbezaan yang signifikan masalah disiplin dengan pengaruh luaran seperti media dan ibu bapa. Ho4: Tidak terdapat perbezaan yang signifikan masalah disiplin dengan budaya sekolah dan iklim sekolah

Vous aimerez peut-être aussi